Written by 6:12 pm Bola Sepak, Malaysia

‘Rusuhan’ di GBK Pengalaman Tidak Dapat Dilupai Jurugambar Berpengalaman, Khairil Jaafar

Huru-hara yang berlaku ketika perlawanan di antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK) bukan sahaja tidak dapat dilupakan penyokong yang ke sana malahan jurugambar yang bertugas membuat liputan, Khairil Ajhar Jaafar.

Perlawanan yang berakhir dengan keputusan 3-2 memihak kepada skuad Harimau Malaya itu dicemari dengan insiden beberapa penyokong Indonesia cuba menyerang kelompok penyokong Malaysia semasa perlawanan berlangsung.

“Tidak boleh dilupakan, tahun lepas semasa bertandang ke Indonesia kena baling batu oleh penyokong Indonesia di GBK.

“Kita duduk tepi (padang) tu berhampiran dengan (tempat duduk) penyokong Malaysia, rusuhan yang terjadi tu dekat dengan kita,” katanya ketika berkongsi pengalamannya kepada Sukanz.

Selepas tamatnya perlawanan, sekelompok penyokong Indonesia telah bertindak mengepung dan ‘menunggu’ penyokong Malaysia di luar. Ini memaksa penyokong dan juga pengamal media Malaysia ‘bermalam’ atas faktor keselamatan sehingga ke awal pagi di stadium menantikan mereka bersurai.

Itu menjadi pengalaman paling diingati oleh Khairil sejak berkecimpung sebagai jurugambar sukan lebih kurang sedekad ini. Di Malaysia pula, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakannya adalah ketika bertugas membuat liputan dalam sebuah perlawanan melibatkan saingan piala.

“Perselisihan penyokong yang paling teruk adalah antara Kedah dan Perak di Stadium Perak pada tahun 2014, masa tu kena baling air dengan penyokong sampai basah habis kamera. Mujurlah semuanya (peralatan) tidak mengalami (sebarang) kerosakan.” ujarnya.

Daripada Seorang Jurugambar ‘Newbie’ Kepada Profesional

Bercerita mengenai pengalamannya sebagai jurugambar, Khairil mula berjinak dalam bidang fotografi sekitar tahun 2007. Ketika itu, dengan sedikit modal yang terkumpul di tangan, dia bermula dengan kamera filem.

Pada tahun 2010, barulah dia mula menggunakan kamera digital dan menceburi bidang fotografi sukan bersama pasukan bola sepak kesayangannya, Kedah.

“Bermula sebagai jurugambar sukan ini (pada) tahun 2010, bersama kelab penyokong (fans club) Kedah, hijaukuning.com, masa tu ikut kelab penyokong untuk (buat liputan) menangkap gambar dan sebagainya.”

Ketika zaman awal pembabitannya dalam fotografi sukan, memang diakui dirinya sangat noob. Namun dengan passion, kecekalan dan perkongsian daripada ramai rakan-rakan jurugambar yang lain, Khairil berhasil meningkatkan skil dan kualiti hasil kerjanya dari semasa ke semasa.

“Tahun 2012 diberi peluang untuk sertai (organisasi media) Dunia Sukan, ketika ini masih lagi bekerja dan makan gaji, manakala pekerjaan sebagai jurugambar hanyalah sebagai separuh masa atau freelance.” katanya.

Khairil mula mengambil keputusan untuk menjadi jurugambar sukan secara sepenuh masa bermula pada tahun 2015. Itupun selepas syarikat dia bekerja terpaksa membuang pekerja disebabkan oleh masalah kewangan.

Tanpa menoleh ke belakang lagi, Khairil mula menumpukan sepenuh perhatian sebagai jurugambar sukan. Selain itu, Khairil juga menjadi jurugambar rasmi buat pasukan bola Kedah dan Malaysia.

Antara penglibatan tertinggi Khairil adalah terlibat membuat liputan bagi tiga edisi Piala AFF Suzuki iaitu 2014, 2016 dan terbaharu edisi 2018 di mana Malaysia menjadi naib juara. Manakala untuk temasya Sukan SEA pula, Khairil turut terlibat membuat liputan sebagai jurugambar sebanyak 3 kali.

Tahun ini, dia sepatutnya terbang ke bumi matahari terbit untuk bertugas sebagai jurugambar di temasya Sukan Olimpik 2020 Tokyo. Malangnya, pandemik Covid-19 melanda dunia pada tahun ini dan menyebabkan ianya ditunda pada tahun hadapan.

Cita-cita terbesar Khairil adalah untuk membuat liputan sebagai jurugambar di kejohanan Piala Dunia sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Kerjaya Sebagai Jurugambar Sukan Boleh Jadi Kaya?

Sambil ketawa Khairil menjawab, “Kaya dengan kawan-kawan dan kaya dengan sokongan.”

“Bidang fotografi ini merupakan bidang yang memerlukan pelaburan yang mahal disebabkan oleh peralatan-peralatannya yang mahal.

“Dia punya pulangan tu lambat, contohnya macam sekarang, disebabkan oleh pandemik Covid-19, segala acara-acara sukan tidak boleh dilangsungkan dan pendapatan terjejas.”

Tambahnya lagi, “Nak kaya tu tak dapat tapi boleh untuk menyara kehidupan dan dapat (juga) bermewah sekali-sekala.”

Namun dengan kerjaya sebagai jurugambar sukan telah memberikannya peluang untuk bertemu dan berkenalan dengan jurugambar-jurugambar tempatan dan luar negara sekaligus dapat belajar banyak perkara daripada mereka.

Dan sebagai bonus, kerjaya ini memberikan peluang buatnya untuk ‘pusing’ ke semua stadium di seluruh Malaysia untuk membuat liputan dalam saingan bola sepak tempatan. Selain itu, semua stadium di setiap ibu negara ASEAN serta Korea Selatan, India dan Australia telah dilawatinya.

(Visited 665 times, 1 visits today)
Close