Written by 4:07 pm Asia, Bola Sepak, Malaysia

Kenali Pertahanan, Carlie de Murga Yang Dikaitkan Dengan Terengganu FC

Pertahanan skuad kebangsaan Filipina kelahiran Sepanyol, Carlie de Murga baru sahaja diumumkan berpisah dengan kelabnya, Chonburi FC secara rasmi, semalam.

Walaupun belum membuat sebarang makluman mengenai hala tujunya yang seterusnya, de Murga cukup kuat digosipkan untuk menyarung jersi skuad pasukan yang berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air iaitu Terengganu FC.

Berdasarkan pemerhatian, pemain yang memiliki ketinggian 1.8 meter, keras semasa bertahan dan berkaki kanan ini mampu beraksi lebih daripada satu posisi seperti pertahanan tengah, pemain tengah bertahan dan pertahanan kanan.

Penampilan musim sulungnya bersama Chonburi, de Murga pantas membentuk keserasian bersama-sama pasukan disamping memimpin pemain-pemain muda kendalian ketua jurulatih, Sasom Pobrasert dengan baik, di sana.

“De Murga bermain sebagai pertahanan tengah untuk Chanburi dan tampil hampir semua perlawanan semasa separuh musim,” kongsi pemerhati bola sepak Liga Thailand, Gian Chansrichawla ketika dihubungi Sukanz.

“Dia beraksi dengan baik bersama-sama pertahanan Brazil, Junior Lopes dan telah membantu Chonburi mencabar kedudukan empat teratas liga buat pertama kali dalam beberapa tahun kebelakangan ini, walhal mereka sekadar mempertaruhkan majoriti skuad muda pada musim ini, ” tambahnya lagi.

Foto: Chonburi FC

Untuk makluman, selain daripada mempertaruhkan barisan pemain muda, pasukan Chonburi kendalian Sasom turut mempunyai persamaan dari segi corak permainan dengan Terengganu FC.

Kedua-duanya gemar bermain dengan gaya penguasaan bola (possesion football).

Tambahan pula, de Murga juga merupakan seorang pertahanan yang selesa memegang bola dan mampu merencanakan serangan bermula dari bawah atau barisan pertahanan.

De Murga (berselur No. 3) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan – Foto: Chonburi FC

Sekiranya perpindahan pemain kelahiran selatan Sepanyol ini ke Terengganu FC menjadi kenyataan, ia merupakan satu nilai tambah buat skuad kendalian Nafuzi Zain untuk mengharungi saingan Liga Malaysia dan Piala AFC 2021.

“Secara peribadi, saya fikir dia merupakan pemain yang menjadi pilihan bagus buat Chonburi. Saya percaya mereka akan beroleh manfaat jika mengekalkannya dengan lebih lama di dalam skuad. (Namun) sudah tentu dia mampu beraksi dengan baik dalam saingan bola sepak Malaysia.” jelas Gian lagi.

Featured Image: Chonburi FC

(Visited 552 times, 1 visits today)
Close