Written by 6:35 pm Bola Sepak, Malaysia

Hamidin Tegaskan Supaya Padang Bola Sepak & Gelanggang Futsal Komersil Kembali Beroperasi

Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Haji Hamidin Mohd Amin turut membuat penegasan agar perusahaan padang bola sepak dan gelanggang futsal komersil kembali beroperasi dalam masa terdekat.

Perkara itu diselitkan oleh Hamidin ketika berbincang dengan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membenarkan saingan Liga Malaysia dijalankan dengan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pada tahun hadapan.

Foto: Rhino Arena

“Saya dan Menteri Belia & Sukan (turut) mempertahankan tentang industri (perusahaan) padang bola sepak dan gelanggang futsal tempatan yang terkesan (dengan pandemik Covid-19). Itupun mesti seiring untuk dibenarkan mengikut SOP-nya.”

“Kerana KKM sering mengatakan kita perlu hidup dalam norma baharu, sekarang kita nak jalankan (bola sepak) dalam norma baharulah, apa prosedurnya? Kita akan ikut.” katanya dalam satu kenyataan di Hotel Marriot, Putrajaya pada hari ini.

Foto: JOHOR Southern Tigers

Hasil beberapa perbincangan yang dijalankan dengan semua pihak yang terlibat termasuk Kementerian Belia & Sukan (KBS), Hamidin berkata pihak MKN dan KKM sudah mula memahami mengenai justifikasi daripada pihak MFL agar saingan liga ini dapat berlangsung.

Selain daripada itu, pihak MFL turut mengusulkan kepada MKN dan KKM agar membenarkan sebahagian penyokong pada skala yang kecil untuk memasuki stadium bagi menonton perlawanan bola sepak.

Difahamkan pihak MFL telah mengusulkan kepada MKN dan KKM agar dibenarkan penonton seramai 10% daripada kapasiti sesebuah stadium.

Berdasarkan kepada perbincangan-perbincangan tersebut, Hamidin berkata peluang untuk pengusaha padang dan gelanggang komersil kembali beroperasi, saingan Liga Malaysia dijalankan dan membenarkan sebahagian penyokong untuk kembali ke stadium adalah cerah.

“Saya fikir mungkin akan ada pengumuman daripada MKN tentang proses ini, jadi sama-samalah kita tunggu.” katanya lagi.

Featured Image: MFL

(Visited 161 times, 1 visits today)
Close