Written by 5:10 pm Bola Sepak, Malaysia

Kini, Tony Fernandes Boleh Jadi Presiden MFL

“Suatu hari nanti selepas pemergian saya daripada MFL (Malaysian Football League), Ahli Lembaga Pengarah boleh putuskan sebagai contoh nak ambil Tony Fernandes (sebagai Presiden MFL), boleh!” kata Datuk Haji Hamidin Mohd Amin dalam satu sidang media, tengah hari tadi.

Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Kali Ke-4 yang dilangsungkan di Hotel Marriot, Putrajaya pada hari ini telah membuat satu pindaan melibatkan Klausa 11 (Pencalonan Presiden MFL) dalam Perlembagaan MFL.

Hasil pindaan tersebut, Ahli Lembaga Pengarah diberikan kebebasan untuk mencalonkan mana-mana individu luar yang difikirkan layak untuk menjadi Presiden MFL.

“Jadi, pihak lembaga pengarah dan pihak rakan kongsi dapat memberi ruang kepada mana-mana individu yang layak ataupun di dalam lembaga pengarah (sendiri), sebelum ini tak boleh,

Menjelaskan kepada para wartawan yang hadir, Hamidin berkata sebelum daripada ini mana-mana individu yang mahu dilantik sebagai Presiden MFL perlu menjadi Ahli Lembaga Pengarah selama empat tahun terlebih dahulu.

“Kita perlu telus dan terbuka, ini untuk kebaikan MFL, tetapi Ahli Lembaga Pengarah kena setujulah (lantikan tersebut).” tambahnya lagi.

Hasil pindaan turut memberikan Ahli Lembaga Pengarah peluang untuk memilih calon yang lebih baik dalam memimpin badan pentadbir liga bola sepak negara ini.

Untuk makluman, Hamidin telah dilantik sebagai Presiden MFL sekitar september 2019. Selain daripada jawatan ini, beliau juga merupakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Featured Image: FAM

(Visited 149 times, 1 visits today)
Close