Written by 4:45 pm Bola Sepak, Eropah, Malaysia

JDT Menjadi ‘Benchmark Club’ Di Malaysia, Contoh Ikutan – Hishamuddin

Pada tahun 2018, setelah mengenepikan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada peringkat separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Larkin, rombongan dari Terengganu dikhabarkan membuat lawatan ke pusat latihan skuad Harimau Selatan, Padang Seri Gelam pada keesokan harinya.

Mengetuai rombongan tersebut ialah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), YB Hishamuddin Abdul Karim serta diikuti oleh pihak pengurusan Terengganu Football Club (Terengganu FC) dan pengurusan Kompleks Sukan Negeri Terengganu.

Dikongsikan secara eksklusif kepada Sukanz, Hishamuddin berkata, walaupun JDT menjadi saingan kepada pasukan Terengganu FC namun apa yang telah dilakukan sejak dari tahun 2013 wajar dipelajari dan menjadi contoh ikutan di Malaysia.

Rombongan Terengganu ketika melawat JDT – Foto: Terengganu FC

“Sebab pertama sekali mengapa kita adakan lawatan itu kerana mahu belajar, dan kebetulan kita sudah ada di Johor Bahru pada ketika itu,

“JDT menjadi satu benchmark club (kelab penanda aras) di Malaysia, walaupun kita bersaing dengan dia tetapi kita tak boleh tunjuk pandai dan perlu belajar daripadanya, (JDT) dijadikan contoh.” katanya memulakan perbicaraan.

Mengimbau lawatan terbabit, pada awalnya, kehadiran mereka hanya disambut oleh Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards dan juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL) pada masa itu, Kevin Ramalingam.

Di sana, Hishamuddin dan rakan-rakannya diberikan penerangan ringkas oleh Alistair mengenai JDT. Bagaimanapun, pihak mereka mendapat kejutan istimewa oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim apabila turut hadir sama untuk bertemu dengan rombongan dari Terengganu ini.

Sejurus tiba, baginda menyapa Hishamuddin dan rakan-rakan sekaligus mengetuai sendiri rombongan ini bagi melihat kawasan sekitar seperti padang latihan, pusat latihan berbumbung, gimnasium dan sebagainya disamping memberikan penerangan mengenai perkara-perkara yang dilakukan oleh baginda dan juga JDT sehingga waktu itu.

Tiga Nasihat Yang Diberikan Oleh TMJ Kepada Terengganu FC

Peluang untuk mendengar sendiri penerangan daripada TMJ berkenaan cara baginda menguruskan JDT tidak dipandang remeh oleh rombongan dari negeri yang terletak di pantai timur semenanjung tanah air ini terutamanya Hishamuddin yang juga merupakan Timbalan Jawatankuasa (EXCO) Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu.

Beliau menyimpulkan terdapat tiga nasihat yang diberikan secara tidak langsung oleh TMJ pada ketika itu.

  1. Pusat Latihan Yang Sesuai/Lengkap Untuk Pemain

Perkara pertama yang dinasihati oleh TMJ kepada Hishamuddin dan rakan-rakannya pada ketika itu adalah mengenai mengadakan tempat latihan yang sesuai buat pemain. 

Mengakui pusat latihan skuad Harimau Selatan yang terletak di Padang Seri Gelam itu berada dalam kelas tersendiri namun ianya mustahil diikuti dan dibina oleh Terengganu FC setelah pulang daripada lawatan tersebut.

Kekangan kewangan tidak membenarkan mereka berbuat demikian secara drastik.

“Pasukan mesti mempunyai tempat latihan yang betul atau sesuai. Kita (sendiri) telah melihat pusat latihan JDT dan setakat ini kita tidak mampu untuk mengikuti (semuanya), tetapi Terengganu FC telah perbaiki banyak perkara (di tempat latihan) berbanding sebelum ini.” jelas Hishamuddin.

Difahamkan, pusat latihan mereka pada ketika ini akan terus diperbaiki dari semasa ke sesama.

  1. Padang Yang Digunakan Untuk Perlawanan

Perkara kedua disentuh oleh TMJ adalah berkenaan padang yang digunakan untuk bermain atau perlawanan. Menyedari padang yang digunakan oleh Terengganu FC sebelum ini bukan dalam keadaan terbaik maka mereka mengambil keputusan untuk memperbaikinya.

“Kita akui Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (gelanggang terdahulu) bukan dalam kondisi yang terbaik. Lanjutan daripada itu, MFL telah bawakan satu pakej program untuk buat pilot project bagi memulihkan padang-padang yang digunakan dalam saingan Liga Super.” katanya.

Seperti kita sedia maklum, sepanjang tahun 2019, mereka giat memperbaiki dan mempertingkat keadaan padang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin seterusnya menggunakan stadium tersebut sebagai home baharu untuk musim 2020.

Menurutnya lagi, padang yang menggunakan rumput jenis Bermuda Princess 77 serta telah dibaiki saliran itu telah memberikan satu kelebihan buat TFC apabila beraksi di laman sendiri. Lebih-lebih lagi corak permainan yang diterapkan oleh Nafuzi amat memerlukan padang berkualiti sebegitu.

  1. Perbelanjaan Mestilah Mengukur Baju Di Badan Sendiri
Pemain tengah Terengganu FC, Azalinullah.

Perkara ketiga yang diperkatakan oleh TMJ adalah mengenai perbelanjaan. Hishamuddin berkata, walaupun mereka ‘menuntut ilmu’ dengan JDT yang mempunyai kewangan yang kukuh dan mampu berbelanja besar, perkara ini tidak boleh diikuti oleh Terengganu FC.

“Bila kita berbelanja, saya pesan kepada coach jangan pilih pemain yang mahal-mahal sangat. Dan (syukur) coach Nafuzi amat memahami mengenai perkara ini dan tidak terlalu demand (meminta) untuk dapatkan pemain bintang dan pemain (bergaji) mahal.” ceritanya lagi.

Difahamkan, tahun 2020 mereka hanya berbelanja sekitar RM7 hingga RM8 juta semusim secara kasar untuk skuad utama yang bersaing dalam kancah Liga Super.

Dengan jumlah perbelanjaan tersebut, jika dibandingkan dengan pencapaian Terengganu FC menamatkan saingan di tempat ketiga bagi saingan Liga Super 2020 ianya sudah cukup membuatkan Hishamuddin tersenyum puas lebih-lebih lagi kedudukan 3 teratas merupakan sasaran yang ditetapkannya pada awal musim lalu.

Mula Menerapkan Falsafah Tersendiri Iaitu Membangunkan Anak Muda

Skuad Terengganu FC 2020.

Selepas mereka pulang daripada lawatan pembelajaran di Johor Bahru, Hishamuddin dan rakan-rakan mengakui masih lagi kabur mengenai halatuju yang perlu ditetapkan untuk Terengganu FC.

Mereka ‘tersepit’ di antara ingin menerapkan konsep pembangunan atau menjadi pencabar kejuaraan. Bagaimanapun, perkara ini akhirnya diputuskan pada pertengahan musim 2019.

“Setelah berlaku insiden Coach Irfan Bakti letak jawatan lalu kita kembali berbincang mengenai arah tujuan pasukan.” ujar Hishamuddin.

Mereka mengambil keputusan untuk melantik Nafuzi Zain (sebelum itu merupakan penolong ketua jurulatih) menjadi ketua jurulatih interim bagi Terengganu FC sehingga tamat musim 2019.

“Di sinilah kita mengambil satu rumusan, kita perlu bentukkan satu falsafah bola sepak Terengganu yang tersendiri iaitu membangunkan anak yang muda untuk ditonjolkan dalam setiap persaingan.

“Dan Coach Nafuzi pula bersetuju untuk buat perkara ini, dan dia menggalas tanggungjawab tersebut sehingga ke hari ini.” ujar Hishamuddin lagi.

Di penghujung musim 2019, Nafuzi dilantik sebagai ketua jurulatih secara rasmi dan pengurusan tertinggi memberikan ‘lesen besar’ dan sokongan penuh kepada pengendali kelahiran Kelantan tersebut untuk membentuk pasukan mengikut falsafah yang diterapkan.

Walaupun falsafah tersebut belum diikuti secara 100% tetapi beliau melihat Terengganu FC sedang berada di landasan yang betul berdasarkan ‘bunga-bunga’ kejayaan yang mula memutik terutamanya jika disandarkan kepada beberapa pemain muda yang berjaya menjadi pemain utama Terengganu FC sepanjang musim ini.

Hishamuddin Turut Belajar Dari Belanda & Thailand

Hishamuddin ketika melawat Johan Cruyff Arena.

Selain daripada menimba ilmu daripada lawatan di JDT pada tahun 2018, Hishamuddin turut ke benua eropah atau secara spesifiknya ke Belanda pada mac 2019.

Antara pasukan yang dilawatinya adalah gergasi bola sepak Belanda iaitu Ajax Amsterdam yang cukup terkenal dengan falsafah bola sepaknya yang melahirkan ramai pemain muda berbakat serta pasukan rival mereka iaitu Feyenoord FC.

Selain daripada itu, semasa kempen pramusim 2020, Hishamuddin turut mengambil peluang untuk ke negara tetangga iaitu Thailand dengan mengunjung pasukan yang menaikkan nama penyerang Teerasil Dangda iaitu tidak lain dan tidak bukan Muangthong United.

Hishamuddin mendengar taklimat daripada pegawai kelab Muanthong United di SCG Stadium.

Menurut Hishamuddin, ada persamaan terhadap ketiga-tiga buah pasukan (JDT, Ajax dan Muangthong) yang dilawatinya untuk belajar berkenaan menguruskan bola sepak.

Kesemua mereka mengamalkan corak pengurusan profesional serta mendapat dokongan daripada pihak korporat (syarikat-syarikat swasta) untuk menaja kepada pembangunan kelab masing-masing.

“Antara yang lain, kesemua kelab ini mementingkan kualiti padang tanpa mengira padang pusat latihan atau yang digunakan untuk perlawanan.” tambahnya lagi.

Featured Image: Facebook Ustaz Hishamuddin

(Visited 4,264 times, 1 visits today)
Close