Written by 5:48 pm Bola Sepak, Malaysia

Nafuzi Buat Sedikit Perubahan Gunakan Pemain Sayap Tempatan Musim 2021

Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain bakal melakukan sedikit perubahan dengan mempertaruhkan pemain sayap tempatan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia dan Piala AFC 2021.

Saingan musim 2020 menyaksikan Nafuzi menggunakan khidmat pemain import iaitu Faris Ramli daripada Singapura di posisi sayap kiri.  Bagi posisi sayap kanan pula ianya diselang-seli antara Faiz Nasir, Rahmat Makassuf dan juga Lee Tuck.

“Kita buat sedikit perubahan (berbanding musim lepas) kita ambil flanker Faris Ramli, kali ini kita akan guna flanker tempatan,” jelas Nafuzi kepada Sukanz.

Faisal Halim semasa mengikuti latihan pramusim 2021 bersama Terengganu FC.

Berdasarkan kepada kenyataan pengendali kelahiran Kelantan ini, dijangka sayap kiri bakal dipertaruhkan ke atas dua penyerang sayap yang baru sahaja ditandatangani Terengganu FC baru-baru ini, Arif Anwar dan Faisal Halim.

Arif ketika bersama UITM FC sentiasa digunakan oleh Frank Bernhardt di posisi sayap kiri. Perkara yang sama turut dilakukan oleh Dollah Salleh di Pahang terhadap Faisal namun pemain kelahiran Pulau Pinang ini lebih versatil dan mampu beraksi posisi lain di bahagian serangan.

Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain.

Ini menjadikan Terengganu FC dapat membuat pelaburan mendapatkan pemain import untuk mengisi posisi lain yang lebih kritikal.

“Untuk pemain import kita akan ambil (lima) pemain, (ianya) di posisi penyerang (tengah), pemain tengah dan pertahanan, di mana dua daripadanya adalah defensive player (kalangan pemain tengah dan pertahanan).” tambah Nafuzi lagi.

Lima pemain tersebut terdiri daripada seorang penyerang, seorang pemain tengah menyerang, seorang pemain tengah, seorang pemain tengah bertahan yang juga mampu beraksi sebagai pertahanan tengah dan seorang pertahanan tengah.

Berdasarkan daripada bayangan awal yang diberikan oleh akaun sosial media Terengganu FC, difahamkan beberapa kalangan pemain import yang bakal ditandatangani oleh mereka telah tiba di tanah air.

Featured Image: Terengganu Football Club

(Visited 1,857 times, 1 visits today)
Close