Artikel

Sebenarnya Rahadiazli Rahalim Diambil Sebagai Penjaga Gol Ketiga Terengganu FC…

Penjaga gol muda berusia 19 tahun, Muhammad Rahadiazli Rahalim menjadi bualan ramai penyokong bola sepak tempatan selepas berjaya menembusi kesebelasan utama Terengganu FC untuk musim 2020.

Manakan tidaknya, pemain yang memiliki ketinggian 1.92 meter ini baru sahaja dinaikkan pangkat daripada skuad Piala Belia (skuad bawah 19 tahun) tetapi telah menewaskan dua penjaga gol berpengalaman untuk menjadi pilihan pertama ketua jurulatih, Nafuzi Zain.

Namun tidak ramai yang mengetahui bahawa percaturan sebenar Nafuzi membawa Rahadi ke skuad senior Terengganu FC pada penghujung tahun lalu hanyalah untuk diberikan pendedahan serta mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Wan Azraie Wan Teh.

“Untuk Rahadiazli ini, kita ambil dia untuk dijadikan sebagai penjaga gol ketiga (untuk pendedahan) bukan sebagai penjaga gol utama, sebabnya kita sudah ada dua penjaga gol berpengalaman iaitu Shamirza (Yusoff) dan Ilham (Amirullah).

“Tapi apabila saya nilai semasa sesi latihan dan perlawanan persahabatan, dia boleh deliver (berikan apa yang saya mahukan) di dalam padang, beri persembahan yang baik dan pada saya dia berhak diberikan peluang untuk bermain.” kata Nafuzi ketika ditemui Sukanz.

Walaupun sekadar mengharungi musim yang pendek ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara, Rahadi sempat meraih 6 penampilan daripada 11 perlawanan Liga Super dan satu penampilan dalam saingan Piala Malaysia 2020.

Kecemerlangan Rahadi juga telah menyumbang kepada kejayaan Terengganu FC mencapai sasaran mereka untuk menjadi kalangan tiga pasukan terbaik dalam saingan Liga Super serta meraih bonus mendapat tiket automatik ke saingan Piala AFC 2021.

Dan bagi Nafuzi sendiri apa yang dilakukan oleh Rahadi itu sangat memberangsangkan dan ianya yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana penjaga gol lain.

“Dengan penampilan pertama bermain di Liga Super, lompat daripada (saingan) Piala Belia, (catat) dua kali clean sheet pada umur 18 tahun, ianya sesuatu yang tidak pernah dilakukan lagi oleh mana-mana penjaga gol dalam saingan Liga Malaysia.” tambahnya lagi.

Featured Image: Terengganu FC

komen