Written by 5:39 pm Bola Sepak, Malaysia

Bawa Safee & Lantik Stanley Sebagai CEO, 2021 Tahun Kebangkitan KL?

Minggu lalu pasukan Kuala Lumpur (KL) yang kini dikenali sebagai Kuala Lumpur United memperkenal dua pemain baru yang akan membantu mereka di Liga Super 2021 iaitu Safee Sali dan Hadin Azman.

Selepas ini tiada lagi sorakan “Dulu Safee Sali main KL” kerana dia kembali menyarung jersi City Boys selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 2005. Bagi Hadin Azman pula, dia akhirnya berpeluang menyarung jersi tempat kelahirannya setelah lama berkelana. 

Persoalannya, adakah dua pemain ini akan dapat membantu KL bangkit semula sebagai salah satu pasukan yang perlu diberi perhatian selepas melalui musim yang tidak menentu dalam tempoh beberapa tahun ini? 

Kali terakhir KL menjulang trofi utama adalah pada tahun 2017 selaku juara Liga Premier. Tahun 1988 adalah kali terakhir skuad warga kota menjadi juara di liga tertinggi Malaysia. Detik terburuk mereka adalah apabila tersingkir ke Liga FAM pada tahun 2014, dan hampir sekali lagi tersingkir ke Liga FAM pada tahun 2016, tetapi terselamat.

Setakat ini perancangan KL United nampak menarik, terutamanya dengan melantik bekas pemain mereka, Stanley Bernard untuk menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Tetapi masih menjadi satu persoalan, siapakah yang akan menjadi ketua jurulatih KL United pada musim hadapan? Adakah Simon Ellisetche telah sah dilantik menjadi ketua jurulatih kerana sehingga kini masih tiada sebarang pengumuman dari pihak KL United sendiri. 

Simon Ellisetche ketika menjadi ketua jurulatih pasukan berpangkalan di Timor Leste, Lalenok United FC.

Jika kita imbau prestasi KL pada musim lalu, nampak begitu garang ketika menyerang dengan 21 gol dijaringkan oleh mereka dalam 11 perlawanan. Namun begitu, City Boys nampak sukar memungut ‘clean sheet‘ dengan bolos 14 perlawanan, satu jumlah yang besar sebenarnya untuk 11 perlawanan.

Ini satu perkara yang perlu diperbaiki dengan taraf Liga Super yang lebih tinggi berbanding Liga Premier. Setakat ini, KL United juga dikhabarkan akan membawa semula seorang lagi bekas pemain mereka, Irfan Zakaria untuk memberikan lebih pilihan di bahagian pertahanan. 

Pada musim lalu, kekurangan paling ketara bagi bahagian serangan pasukan KL adalah di bahagian sayap. Indra Putra, Azim Rahim dan Fakrul Aiman sering menjadi pilihan Nidzam Adzha, tetapi mereka nampak kurang efektif untuk memberikan ketajaman di bahagian sayap dan kerap memerlukan bantuan Qayyum Marjoni untuk melakukan ‘overlapping run‘ bagi memberikan lebih bantuan. 

Dengan kehadiran Hadin Azman, Kuala Lumpur akhirnya mempunyai seorang pemain sayap yang cukup berbahaya selain dapat membantu memberikan kreativiti kepada pasukan yang nampak terlalu bergantung kepada ketua pasukan, Paulo Josue. 

Untuk mengatakan KL akan kembali bangkit pada musim 2021 mungkin adalah satu kenyataan yang terlalu tinggi. Keutamaan buat KL seharusnya kekal dalam saingan Liga Super dan peningkatan sasaran sebenarnya bergantung kepada perancangan jangka masa panjang mereka. 

Dalam era penswastaan ini, pengurusan KL terutamanya Stanley wajib mempunyai perancangan jangka masa panjang jika mahu cuba membangkitkan KL. Melihat apa yang sedang berlaku sekarang, pastinya penyokong Kuala Lumpur sudah mula merasa teruja untuk menunggu sepak mula Liga Super, tetapi pada masa yang sama mereka perlu tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi.

Nota: Artikel ini disumbangkan oleh penyokong tegar skuad City Boys, Khairul Nizam.

(Visited 229 times, 1 visits today)
Close