Written by 12:23 pm Lain-Lain

Eagles Rugby Club Anjur Kempen Derma Darah Sebagai Program CSR

Meskipun tiada sebarang kejohanan dalam masa terdekat, Eagles Rugby Club (ERC) yang berpusat di Sandakan, Sabah mempunyai cara tersendiri untuk menjalankan aktiviti berfaedah buat komuniti ragbi.

Bersempena dengan cuti hujung minggu lalu, ERC menganjurkan Kempen Derma Darah bagi menampung bekalan di Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan.

Menurut Pengurus Besar ERC, Raimi Yusof ketika dihubungi berkata, kempen itu memasuki penganjuran kali kedua tahun ini merupakan  program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan menghimpunkan komuniti ragbi dan menyumbang kepada masyarakat.

“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan kerana pelbagai lapisan masyarakat telah hadir memberi sokongan kepada penganjuran program ini,” jelas Raimi.

Tambahnya lagi, penderma darah terdiri daripada jurulatih, pengurus pasukan serta pemain-pemain di samping ahli keluarga dan orang awam yang hadir menjayakan usaha murni tersebut.

Jelas Raimi, kejayaan program seperti ini membuktikan sukan ragbi bukan hanya dimainkan di padang semata-mata, malah mempunyai sebuah komuniti yang sentiasa peka dan sedia menyumbang kepada keperluan masyarakat.

Manakala Pegawai Perubatan bertugas, Dr. Nurul Syazliana berkata, permintaan bekalan darah di HDOK sentiasa tinggi kerana hospital tersebut turut membekalkan darah kepada hospital-hopsital di Beluran dan Kinabatangan.

“Justeru, kempen seperti ini sangat membantu pihak HDOK dalam mengimbangi keperluan darah daripada sekitar Sandakan,” jelas Nurul.

“Bagi pihak ERC, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang terlibat khususnya pasukan Tabung Darah HDOK dan semua yang hadir memberi sokongan kepada kami,” kata Raimi.

(Visited 135 times, 1 visits today)
Close