Bekas pemain lagenda, Paul Scholes menggesa bekas kelabnya, Manchester United meletakkan sasaran untuk mendapatkan Harry Kane berbanding Jadon Sancho pada jendela perpindahan musim panas ini.
Bagi Scholes, skuad Red Devil amat memerlukan seorang penyerang tengah tulen bagi memantapkan jentera serangan untuk mengharungi saingan baharu domestik dan antarabangsa musim depan.
“Jangan salah sangka, Sancho pemain berkualiti, saya rasa dia akan membantu meningkatkan mana-mana pasukan bola sepak di dunia. Statistik menunjukkan dia adalah peledak gol, dia akan membuat dan menjaringkan banyak gol.”
Sedangkan penyerang sayap seumpama Sancho tidak menjadi masalah di Manchester United kerana mereka sudah mempunyai pemain-pemain seperti Anthony Martial, Marcus Rashford dan Mason Greenwood.
“Saya rasa kita sudah ada tiga penyerang atau sayap yang mirip dengan Sancho, mungkin tidak sehebat dia tapi berpotensi. Pada masa ini, saya fikir Harry Kane adalah pembelian yang lebih menarik berbanding Sancho.
“Saya fikir United memerlukan penyerang tengah, pemain tulen untuk jersi No. 9, penjaring gol yang sebenar. Kane adalah orangnya,” jelas Scholes yang bercakap kepada BT Sport.
Rata-rata media di eropah melaporkan bekas pemain akademi Manchester City berusia 20 tahun itu semakin menghampiri dan menunggu masa sahaja untuk diumumkan menyertai skuad bimbingan Ole Gunnar Solksjaer secara rasmi.
Foto Kredit: Manchester United & Tottenham Hotspur