Ketua jurulatih Terengganu Football Club (TFC), Nafuzi Zain menegaskan pasukannya tidak menerapkan sistem permainan berpaksikan kelebihan individu semata-mata.
Perebutan barisan kesebelasan utama TFC sentiasa terbuka kepada semua pemain termasuk kalangan pemain-pemain muda asalkan menunjukkan kualiti teknikal, sikap dan kecerdasan di atas padang apabila beraksi.
Justeru Nafuzi tidak resah dengan kehilangan khidmat penyerang sayap skuad kebangsaan Singapura, Faris Ramli sekitar 14 hari ekoran perlu menjalani kuanrantin wajib setelah tiba di ibu kota.

Foto: Terengganu Football Club
“Saya telah mengingatkan pemain-pemain terutama pemain muda di TFC untuk menggunakan peluang ini untuk membuktikan kualiti yang mereka ada kerana kita kini bermain bola dalam sistem bukan lagi menumpukan kudrat dan kelebihan individu semata-mata.
“Bola sepak kini memerlukan otak kita untuk berfikir, belajar membuat keputusan dengan pantas ketika beraksi. Mereka muda dan mempunyai teknik yang baik, jika mereka mula yakin, mereka boleh beraksi seperti biasa dengan selesa dan mungkin boleh mengatasi rakan yang lebih senior.” katanya dipetik daripada laman sosial TFC.

Syafik Ismail vs Kelantan United FC
Antara pemain yang berpotensi untuk diturunkan oleh Nafuzi menjelang perlawanan sambungan CIMB Liga Super 2020 menentang Petaling Jaya City FC (PJ City FC) ialah Syafik Ismail.
Syafik yang berusia 20 tahun telah membuat penampilan dalam dua perlawanan persahabatan menentang Kelantan United FC dan Kelantan FA pada 7 dan 11 ogos lalu.
Lebih mengujakan, Syafik yang merupakan anak jati negeri Terengganu telah menjaringkan gol tunggal kemenangan ketika bertemu Kelantan United FC hasil lorongan daripada penyerang import, Dominique da Sylva.
Menurut Nafuzi, pemain ini mampu beraksi di kedua-dua bahagian serangan sayap serta mempunyai teknik gelecekan dan kelajuan yang sangat baik.
Skuad TFC akan menjalani dua lagi perlawanan persahabatan iaitu bertemu Selangor II dan Selangor masing-masing pada 14 dan 15 ogos. Perlawanan bertemu PJ City FC pula akan berlangsung pada 22 ogos hadapan.
Foto: Terengganu Football Club