Disebabkan kekurangan pendapatan, Barcelona berhenti ‘kejar’ Neymar dan Lautaro Martinez
August 4, 2020 Hafizuddin Omar

Kelab gergasi Sepanyol, FC Barcelona menghentikan seketika usaha untuk mendapatkan pemain bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar dan penyerang muda Inter Milan, Lautaro Martinez.

Bartomeu mengakui kelab yang mendapat julukan Blaugrana itu berusaha keras untuk membawa Neymar kembali ke Stadium Nou Camp pada perpindahan musim panas lalu. 

“Dalam situasi (Covid-19) ketika ini, tidak (sama sekali). PSG juga tidak mahu menjualnya, (perkara) itu juga masuk akal kerana dia merupakan salah seorang pemain terbaik di dunia.”

“Musim panas lalu kami berusaha keras (untuk menandatangani Neymar) tetapi musim panas ini kami tidak mencuba langsung.”

Josep Maria Bartomeu

Namun pandemik Covid-19 melanda dunia pada saat ini mengekang kehadiran penonton ke stadium dan menyebabkan Barcelona kehilangan punca pendapatan yang besar.

Pendapatan mereka terjejas sebanyak 200 juta euro antara bulan mac hingga jun lalu. Malah presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu berkata anggaran pendapatan mereka pada musim depan juga bakal berkurangan sebanyak 30%.

“Pada musim 2020/21, kami menjangkakan meraih pendapatan sebanyak 1100 juta euro tetapi (jumlah) itu adalah berkurangan sebanyak 30% daripada sekarang.”

“Jika situasi (pandemik) tidak semakin baik, maka tiada penonton di tempat duduk (stadium), di muzium atau di kedai-kedai dan kami akan kekal kehilangan duit.”

“Ini akan menyebabkan kami akan menyemak semula pelan perbelanjaan dan manakah (perkara) yang perlu ditangguhkan. Kami perlu menyesuaikan diri.” katanya ketika temu ramah bersama Sport.

Lautaro Martinez

Manakala usaha untuk mendapatkan Martinez yang berusia 22 tahun daripada Inter Milan dihentikan seketika atas persetujuan bersama ekoran situasi pandemik yang memberikan kesan kepada kewangan kedua-dua kelab pada ketika ini.

Untuk rekod, Martinez telah menjaringkan sebanyak 19 gol dan 6 bantuan gol daripada 45 penampilan bersama skuad Nerazzurri bimbingan Antonio Conte pada saingan musim ini.

Sementara itu, Bartomeu juga meramalkan ‘trend’ perpindahan mega pemain bola sepak di eropah yang bernilai ratusan juta akan berhenti seketika dan lebih banyak perjanjian pertukaran pemain akan berlaku. Perkara ini akan berlarutan 3 hingga 4 tahun akan datang.

Komen