Keyakinan Lingard Untuk Julang Trofi Europa Semakin Membuak-Buak
August 6, 2020 Hafizuddin Omar

Pemain tengah Manchester United, Jesse Lingard semakin berkeyakinan tinggi untuk merangkul kejuaraan Liga Europa buat kali ke-2 dalam kariernya.

Keyakinan itu hadir selepas Lingard berjaya menyumbangkan satu jaringan dan dinobatkan sebagai Man of The Match dalam perlawanan menentang LASK di Stadium Old Trafford, awal pagi tadi.

Jaringan itu membantu Manchester United mencatatkan kemenangan 7-1 secara agregat sekaligus menempah slot suku akhir saingan Liga Europa bertemu FC Copenhagen di Jerman.

“Satu kemenangan yang positif, terutamanya dapat membawa (keyakinan) ke perlawanan seterusnya. Kami juga boleh membawa keyakinan itu dan (kejayaan) menamatkan saingan EPL di tempat ke-3,” kata Jesse kepada MUTV.

“Kami telah lakukan yang terbaik dan harapnya kami dapat mara ke perlawanan akhir dan memenanginya. Itulah sasaran utama buat masa sekarang: untuk memenangi trofi itu (Europa).”

Untuk rekod, Lingard merupakan sebahagian daripada skuad Manchester United yang menjuarai Liga Europa 2016/17. Ketika itu, skuad Red Devil dibimbing oleh Jose Mourinho berjaya menumpaskan Ajax Amsterdam di Stockholm, Sweden.

Mengenangkan kemanisan momen menjulang trofi kejuaraan tiga tahun lalu membuatkan perasaan pemain berdarah England ini untuk mengulangi kejayaan tersebut semakin membuak-buak.

“Menjulang trofi adalah satu perasaan yang istimewa, yang tidak boleh diungkapkan (dengan kata-kata) dan kejuaraan yang lalu memberikan keyakinan untuk perlawanan seterusnya. 

“Kami mempunyai gabungan pemain muda dan pemain berpengalaman di dalam skuad dan untuk pemain-pemain muda yang akan memenangi trofi pertama mereka, (momen) ini akan menjadi yang sempurna untuk mereka.” tambahnya lagi.

Manchester United dijadualkan bertemu FC Copanhagen pada jam 3 pagi, selasa minggu hadapan.

Foto Kredit: Manchester United

Komen