Pelumba motosikal negara, Hafizh Syahrin memberi bayangan bersara daripada arena sukan permotoran pada penghujung tahun 2020.
Pelumba daripada pasukan Aspar Team yang bersaing dalam kejuaraan dunia Moto2 membuat pengumuman mengejutkan itu menerusi satu muat naik Instagram Story miliknya, tengah malam tadi.
“Akhir tahun 2020, 13 tahun dalam Motorsports, bye-bye.” tulis Hafizh.
Hafizh berusia 26 tahun mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat sukan permotoran negara apabila berjaya menembusi saingan kelas premier, MotoGP pada tahun 2018 dan 2019 bersama pasukan Tech3.
Pencapaian terbaiknya hadir ketika perlumbaan GP Argentina musim 2018 dengan menamatkan perlumbaan di tempat ke-9 walaupun bermula daripada petak ke-23.
Tahun itu juga menyaksikan El Pescao bersaing sengit bersama-sama pelumba Petronas Yamaha SRT, Franco Morbidelli untuk merebut gelaran Rookie Of The Year.
Sayangnya, Hafizh tewas kepada Morbidelli di penghujung musim dengan hanya dibezakan 4 mata.
Musim 2019, Hafizh gagal mengekalkan konsistensinya. Dia bergelut untuk menyesuaikan diri dengan jentera baharu, KTM dan hasilnya Hafizh hanya mengutip 9 mata daripada 19 perlumbaan.
Bertambah mendukacitakan, selepas daripada 9 perlumbaan pasukannya telah mengumumkan menggantikan Hafizh dengan pelumba baharu, Brad Binder untuk saingan MotoGP musim 2020.
Awal tahun ini, Hafizh menarik nafas lega apabila direkrut sebagai pelumba pasukan berpangkalan di Sepanyol, Aspar Team yang bersaing dalam kelas Moto2.
Dia berhasrat menjadikan saingan Moto2 musim ini sebagai batu loncatan untuk kembali semula ke saingan kelas premier MotoGP.
Bagaimanapun, setelah mengharungi 4 perlumbaan Moto2 musim ini, prestasi Hafizh dilihat kurang memberangsangkan dan hanya menduduki tangga ke-14 dengan jumlah kutipan 17 mata.
Sehingga kini tiada sebarang penjelasan lanjut daripada Hafizh sendiri mengenai mengapa dia berhasrat untuk bersara daripada sukan permotoran setelah tamatnya tahun 2020.
Foto: Aspar Team