Kelab berpangkalan di London, Arsenal mengumumkan secara rasmi ketibaan pemain baharunya, Willian untuk mengharungi saingan musim 2020/21.
Bekas pemain Chelsea berusia 32 tahun ini berhijrah ke Arsenal secara percuma dan diikat kontrak selama tiga tahun. Dikhabarkan Willian diberikan No.12 bersama skuad The Gunners.
Mengulas mengenai kemasukan Willian, Arteta menerangkan ianya sangat menguntungkan skuadnya kerana kemampuan Willian untuk bermain di pelbagai posisi serta dapat menguatkan lagi barisan serangan Arsenal.
“Saya percaya dia boleh memberikan perbezaan kepada (pasukan) kami,” kata pengurus Arsenal dipetik daripada laman Goal.
“Kami telah memerhatikan (Willian) selama beberapa bulan lepas, kami mempunyai perancangan yang jelas mahu menguatkan posisi attacking midfielder dan sayap (dan) dia merupakan pemain yang dapat memberikan kami kepelbagaian, dia boleh bermain tiga atau empat posisi.”
“Dia mempunyai banyak pengalaman dalam dunia bola sepak tetapi masih mempunyai cita-cita untuk datang ke sini dan menyumbang untuk membawa kelab ini ke tempat yang sepatutnya. Saya sangat kagum dengan semua perbincangan yang dilakukannya dan betapa dia ingin datang ke sini.” jelasnya lagi.
Untuk makluman, Willian tiba di Stamford Bridge setelah berpindah daripada Anzhi Makhachkala pada tahun 2013 dan semenjak itu dia telah bermain selama 7 tahun bersama Chelsea.
Semasa menyarung jersi The Blues, pemain sayap lincah ini telah menjaringkan 63 gol dan menyumbang 56 bantuan gol daripada 339 penampilan. Bersama Chelsea juga, Willian telah merangkul dua trofi Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Europa, Piala FA dan Piala Liga.
Foto: Arsenal