Moto2: Selepas Kemalangan Ngeri, Hafizh Terpaksa Bertongkat
August 17, 2020 Hafizuddin Omar

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin terpaksa menggunakan axillary crutches atau topang ketiak bagi membantunya untuk bergerak selepas daripada terlibat dalam kemalangan ngeri.

Pelumba berusia 26 tahun itu terlibat dalam satu kemalangan merempuh jentera milik Enea Bastianini yang tersadai di tengah-tengah trek ekoran tergelincir dalam perlumbaan GP Austria di Litar Red Bull Ring, semalam.

Dalam insiden tersebut, Hafizh yang merempuh dengan kelajuan tinggi melambung dan terseret di atas litar. Manakala jentera miliknya hancur berkecai.

Pegawai perubatan segera mendapatkan pelumba Aspar Team itu untuk memberikan rawatan awal sebelum di bawa ke pusat perubatan untuk pemeriksaan.

Tangkap layar daripada Instagram Hafizh Syahrin

Hasil pemeriksaan Hafizh didapati tidak mengalami sebarang kecederaan serius melibatkan patah tulang atau kecederaan pada organ dalaman namun dia tidak mampu untuk berjalan sendiri buat masa ini.

Walaupun perlukan masa untuk kembali sembuh sepenuhnya, semangat Hafizh masih berkobar-kobar untuk terlibat dalam perlumbaan seterusnya iaitu GP Styria, hujung minggu ini.

“Saya gembira apabila tiada kecederaan besar di badan saya, tetapi kemalangan itu sangat teruk. Saya masih merasa sakit pada kedua-dua belah kaki terutamanya kaki kiri.

“Pada masa ini, saya menggunakan topang ketiak untuk membantu pergerakan dan saya berdoa agar pulih secepat mungkin, saya juga berharap dapat menyertai perlumbaan hujung minggu ini (GP Styrian),” katanya dipetik daripada Bernama.

Sementara itu, pelumba Italtrans Racing Team, Bastianini telah meminta maaf atas kemalangan yang menimpa Hafizh. Dia mengharapkan Hafizh pulih segera yang mungkin dan tidak sabar menantikan perlumbaan seterusnya.

Foto: Aspar Team

Komen