Setahun yang lalu, ketua jurulatih skuad kebangsaan Belanda, Ronald Koeman telah mengenal pasti beberapa masalah yang melanda skuad FC Barcelona.
Antaranya skuad Blaugrana tersebut merupakan skuad menua (ageing), tiada pelan transisi pemain untuk jangka masa panjang serta tidak mempromosikan graduan akademi untuk menggantikan pemain senior.
“(Luis) Suarez lebih 30 tahun, (Lionel) Messi lebih 30 tahun, (Gerard) Pique lebih 30 tahun, (Sergio) Busquets lebih 30 tahun…” kata Koeman dalam satu temu ramah bersama Esports3 pada tahun 2019.
“Mereka mampu (bermain) beberapa tahun lagi, sudah tentu, tetapi selepas itu… bagaimana?”
“Kamu perlu buat perubahan kerana mereka (mengisi) posisi utama pasukan – kesemua pemain tonggak. Kamu mempunyai penjaga gol (muda), tetapi kamu hilang bek tengah, pemain tengah, penyerang tengah atau Messi.
“Semoga berjaya.” kata Koeman.
Untuk menyelesaikan masalah ini, Koeman mencadangkan untuk menggunakan pemain-pemain muda daripada akademi La Masia. Baginya, pemain-pemain akademi mempunyai DNA corak permainan yang mahu dimainkan oleh Barcelona.
Dan sekiranya tiada pemain-pemain akademi yang dapat mengisi sesuatu posisi, barulah membuat keputusan untuk membeli pemain daripada kelab lain. Tetapi keutamaannya adalah memainkan pemain-pemain daripada akademi sendiri.
Jurulatih berusia 57 tahun itu turut menambah bahawa menurunkan pemain-pemain muda akademi adalah perkara yang biasa dilakukan di Belanda dan perkara itu akan memanfaatkan pasukan untuk masa hadapan.
Setahun kemudian, Barcelona menerima tamparan hebat apabila kejuaraan La Liga 2019/20 jatuh kepada seteru mereka, Real Madrid dan minggu lalu, mereka dimalukan oleh Bayern Munich 8-2 dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara UEFA.
Masalah-masalah yang diperkatakan oleh Koeman setahun yang lalu menjadi bualan peminat dan pengulas bola sepak sedunia. Malah pemain-pemain senior mereka sendiri telah memberi bayangan untuk meninggalkan Barcelona untuk memberi laluan kepada pemain-pemain muda.
Berikutan itu, pengurusan tertinggi Barcelona telah membuat keputusan untuk memecat pengurus, Quique Setien dan mereka bakal melantik Koeman selaku pengganti dalam masa terdekat menurut wartawan terkenal, Fabrizio Roman.
Sumber: Marca