Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger menegaskan beliau tidak berminat mengisi kekosongan ketua jurulatih Belanda yang bakal ditinggalkan Ronald Koeman.
Terdahulu, Koeman, 57 tahun dilaporkan akan meninggalkan skuad kebangsaan Belanda untuk mengemudi FC Barcelona bagi mengharungi saingan baharu musim depan.
Difahamkan Koeman yang pernah bermain sebagai pertahanan La Blaugrana suatu masa dahulu akan diumumkan secara rasmi sekitar minggu ini.
Wenger yang merupakan Ketua Pembangunan Bola Sepak Global FIFA bingung apabila dikaitkan dengan jawatan tersebut.
Beliau turut menyoal dari mana datangnya berita tersebut sedangkan beliau tidak pernah berbincang dengan mana-mana pihak mengenai perkara tersebut sehingga kini.
“Saya percaya ada beberapa laporan yang mengatakan saya menawarkan diri untuk mengambil tugas itu, tetapi saya tak berminat,”
“Saya bekerja bersama FIFA (sekarang) dan saya berkerja keras dan saya tidak berunding dengan sesiapa.”
“Saya tidak tahu dari mana datangnya berita tersebut.” kata Wenger ketika temu bual bersama beIN Sports.
Sementara itu, Wenger yang menjadi pembimbing Arsenal selama 22 tahun sangat tertarik dengan berita Koeman bakal menjadi ‘boss’ di Barcelona kelak.
Koeman pernah menjadi tumpuan peminat bola sepak semasa mengemudi Southampton FC dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dari tahun 2014 hingga 2016. Musim terbaiknya hadir ketika menguruskan The Saints hadir pada musim 2015/16.
Koeman membawa Southampton menamatkan saingan EPL di tempat ke-6 di belakang Manchester United walaupun mempertaruhkan skuad muda yang terdiri daripada Sadio Mane, Virgil van Dijk, Victor Wanyama dan beberapa pemain lagi.
“Di antara kelab besar seperti Barcelona dan skuad kebangsaan, kamu faham (akan) keputusan (diambilnya),”
“Dia berumur 57 tahun, dia tidak pernah menguruskan kelab besar di luar negaranya dan ini merupakan peluang seumur hidup (yang hadir) untuk menerima tawaran tersebut.” ulas Wenger lagi.
Untuk rekod, Wenger diumumkan sebagai Ketua Pembangunan Bola Sepak Global pada november 2019. Dan sejak itu juga, bekas pengendali berusia 70 itu dikaitkan untuk melatih pelbagai kelab dan pasukan kebangsaan.
Foto: Arsenal