Baru-baru ini pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin membuat satu hantaran menerusi Intagram Story memberikan bayangan untuk meninggalkan sukan permotoran selepas tamatnya tahun 2020.
Bagaimanapun, pelumba berusia 26 tahun itu menegaskan mahu meneruskan karier dalam sukan permotoran dan Instagram Story yang dibuat sekitar dua minggu lalu hanya untuk meluahkan kesamaran mengenai masa depannya.
Pada masa yang sama, pelumba Aspar Team yang berazam untuk kembali ke saingan kelas premier, MotoGP pada tahun hadapan memohon orang ramai khususnya rakyat Malaysia untuk terus menyokong kariernya.
Selain itu, Hafizh mendedahkan ada pihak yang bermain politik untuk menghalang pelumba tempatan sepertinya daripada berjaya dalam arena permotoran di peringkat antarabangsa.
“Sebenarnya tiada kata putus cuma saya nak kongsikan selama 13 tahun dalam sukan permotoran, tanpa sokongan yang cukup kuat mungkin agar sukar untuk teruskan perjuangan ini, kalau boleh saya tidak mahu ada politik.
“Saya tidak tahu lagi (sama ada akan beraksi dalam MotoGP musim depan), tapi saya ingin terus berlumba tetapi saya tidak berapa minat dengan politik dalam sukan permotoran ini apabila ada pihak yang ingin melihat pelumba Malaysia tidak berjaya (gagal).
“Kita tidak boleh berdengki, bersikap tikam belakang sedangkan sama-sama bawa nama Malaysia tetapi ada orang dalam sukan permotoran ingin (lihat) saya jatuh,” katanya seperti dipetik daripada Stadium Astro.
Dalam perlumbaan Austria GP yang berlangsung pada 16 ogos lalu, Hafizh menerima nasib malang apabila terlibat dalam satu kemalangan yang mengerikan sehingga tidak dapat meneruskan perlumbaan tersebut.
Mujurlah tiada sebarang kecederaan serius menimpanya namun Hafizh terpaksa berjalan menggunakan cruthces selama beberapa hari. Dia disahkan tidak cergas untuk mengharungi perlumbaan berikutnya, Styria GP, ahad lalu.
Ketika ini, Hafizh atau nama gelarannya, El Pescao berada di tanah air. Dia semakin pulih dan sudah mula mengatur sesi latihannya supaya dapat kembali ke litar untuk mengharungi perlumbaan Moto2 seterusnya, di San Marino.
“Sebenarnya saya sudah boleh berjalan tanpa tongkat dan beberapa hari lagi, Insya-Allah saya boleh mula mengadakan latihan di kediaman seperti awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
“Saya akan minta isteri hantar peralatan latihan ke hotel ini untuk saya membolehkan berkayuh agar dapat melonggarkan otot.
“Saya akan beraksi dalam GP San Marino sebab yakin boleh menunggang semula.
“Cuma ketika di Austria minggu lalu, dua doktor menekan terlalu kuat di tempat tercedera dan kalau sesiapa pun yang diperlakukan begitu, pasti akan kata sakit,” katanya.
Foto: Instagram Hafizh Syahrin