Artikel

VIDEO: Terengganu FC belasah Sabah, lonjak tangga ke-2 CIMB Liga Super

Terengganu FC berhasil merakamkan kemenangan 4-0 ke atas Sabah dalam aksi kelima saingan CIMB Liga Super 2020, sebentar tadi.

Kemenangan penuh bergaya anak buah Nafuzi Zain itu dirakamkan di halaman sendiri, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Terengganu FC bermula garang dengan mendahului seawal minit ke-12 menerusi penyerang utamanya, Dominic Da Sylva.

Penyerang Mauritania itu mengambil peluang hasil kekalutan di dalam kotak penalti Sabah.

Gol kedua pula hadir menerusi pemain tengah licik dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov yang menyudahkan hantaran daripada kapten pasukan, Lee Tuck pada minit ke-43.

Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan Terengganu FC mendahului 2-0.

Bersambung pada babak kedua, Terengganu FC meneruskan dominasi mereka di atas padang. 

Minit ke-73 Benteng rapuh skuad Tambadau sekali lagi dirobek oleh Sanjar. 

Kali ini dia menyudahkan bola muntah yang gagal ditampan kemas oleh penjaga gol lawan, Wan Azraie Wan Teh.

Tidak cukup dengan tiga jaringan tanpa balas, pemain gantian, Faris Ramli menambah duka Sabah dengan menambah satu lagi jaringan pada minit ke-84.

Tiada sebarang pertambahan jaringan selepas itu dan pengadil perlawanan, Mohd Amirul Izwan meniup wisel menamatkan perlawaan dengan keputusan akhir 4-0.

Kemenangan ini memberikan Terengganu FC melonjak ke tangga ke-2 CIMB Liga Super 2020, hanya dibezakan tiga mata dengan pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT). 

Foto: MFL

komen