Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sedang mempertimbangkan menggunakan nama Darul Aman Football Club (Darul Aman FC) sebagai nama baharu buat pasukan negeri itu yang akan diswastakan kelak.
Menurut laporan Harian Metro, selain daripada Darul Aman FC, pihak pengurusan KFA turut mempertimbangkan cadangan-cadangan nama lain bagi melengkapkan proses penswastaan sebelum 30 september ini.
Terdahulu, semua pasukan-pasukan bola sepak yang bersaing dalam kancah Liga Malaysia diarahkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melakukan proses penswastaan kelab daripada Football Association (FA) kepada Football Club (FC).
“Kita ada beberapa nama yang dipertimbangkan dan antaranya adalah nama Darul Aman FC, namun pemilihan nama syarikat baharu yang akan ditubuhkan ini adalah tertakluk kepada keputusan pemilihan akan diumumkan pengurusan KFA selepas ini.
“Sekiranya kita mahu menggunakan nama Kedah atau Darul Aman dipermulaan nama syarikat atau kelab, kita perlu mendapatkan keizinan dari pihak kerajaan negeri Kedah terlebih dahulu dan sekiranya diluluskan barulah kita boleh menjalankan pendaftaran selanjutnya.
“KFA kini sedang berusaha dengan cara yang terbaik untuk merealisasikan proses penswastaan ini dan saya yakin kita akan melengkapkan sepenuhnya proses ini dalam tempoh yang ditetapkan,” kata Naib Presiden KFA, Khamal Idris Ali.
Sebelum ini, kedengaran skuad yang terkenal dengan julukan Helang Merah itu mahu menggunakan nama Kedah Football Club (KFC).
Bagaimanapun ianya kurang digemari kalangan penyokong Kedah kerana akronimnya menyamai nama rangkaian restoran makanan segera, Kentucky Fried Chicken (KFC).
Foto: FA Kedah