“Awak Kawan Messi, Cuba Telefon Dia Ajak Sertai Man City” – Pinta Peminat Cilik, Braydon Kepada Pep
September 1, 2020 Hafizuddin Omar

Empat tahun lalu, seorang peminat cilik Manchester City, Braydon Bent berpeluang untuk duduk bersembang bersama pengendali The Cityzens, Pep Guardiola.

Pada ketika itu, Braydon baru sahaja berusia tujuh tahun namun amat petah berkata-kata. Minatnya terhadap pasukan Man City itu bukan kepalang lagi dan menyebabkannya dikenali ramai peminat bola sepak di Kota Manchester.

Oleh demikian, Man City telah membuat kejutan yang istimewa buatnya. Mereka bercadang untuk menemukannya bersama pengurus baharu The Cityzens yang baharu dilantik, Pep Guardiola dalam rancangan Pep’s Taxi.

Setelah masuk ke dalam teksi yang dipandu oleh Chappy, seorang penyampai Man City, Brandon seakan-akan tidak percaya dapat bertemu empat mata bersama pengurus idolanya yang pernah mengurus FC Barcelona dan Bayern Munich.

Banyak topik yang dibincangkan oleh mereka berdua. Antara yang paling menarik adalah Braydon meminta Guardiola untuk mendapatkan penyerang terbaik dunia, Lionel Messi.

“Saya tahu awak merupakan kawan kepada Messi, mungkin awak boleh telefon dia dan lihat jika dia ingin menyertai kita (Man City) dan bergembira (di sini).” ujar Brayden kepada Pep.

“Messi?” tanya Pep kembali.

“Sangat menarik tu! Tetapi ianya mungkin sedikit sukar (untuk menandatangani Messi),” Pep menjelaskan kembali kepada Brayden.

Seperti kita sedia maklum, Man City tidak berhasil mendapatkan khidmat Messi ketika itu. Bagaimanapun, hajat Braydon untuk melihat kelibat Messi menyarung jersi Sky Blue di Stadium Etihad mungkin bakal menjadi kenyataan.

Messi yang merupakan pemenang Ballon d’Or sebanyak enam kali hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City. Diberitakan mereka kedua-dua mereka telah mengadakan perbincangan melalui telefon.

Braydon pastinya menjadi kanak-kanak yang paling gembira di dunia sekiranya perpindahan Messi ke Man City direalisasikan kali ini.

Anda boleh menonton video penuh perbualan di antara Brayden dan Pep Guardiola pada pautan di bawah:

Komen