Pemain tengah yang memainkan peranan besar dalam memastikan kemenangan Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA dan Liga Perdanan Inggeris (EPL), Georginio Wijnaldum hanya tinggal selangkah sahaja lagi untuk menyertai FC Barcelona.
Perkara itu disahkan oleh sebuah laporan media berpangkalan di Sepanyol, Sports yang menyatakan Winjanaldum sudah bersetuju untuk menandatangani kontrak bersama skuad Blaugrana selama tiga tahun dengan pilihan lanjutan setahun.
Khidmat pemain tengah kelahiran Belanda itu dimahukan oleh jurulatih baharu, Ronald Koeman untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Ivan Rakitic yang kembali menyertai kelab lamanya, Sevilla FC. Sementara itu, pemain tengah Chile, Arturo Vidal juga dijangka bakal meninggalkan skuad Barcelona.
Difahamkan kedua-dua kelab sedang mengadakan rundingan dan Barcelona dijangka perlu membayar Liverpool antara £13 juta hingga £18 juta untuk membawa pemain berusia 29 tahun itu ke Stadium Nou Camp.
Untuk rekod, Wijnaldum menyertai skuad The Kop pada tahun 2016 dan dia masih mempunyai baki kontrak selama setahun lagi bersama Liverpool.
Foto: UEFA Champions League