Artikel

Selepas Sehari Berlatih di United, Sanchez Menyesal Dan Mahu Kembali Ke Arsenal

Penyerang Chile, Alexis Sanchez menjaringkan 80 gol dan mencipta 45 bantuan gol ketika beraksi bersama Arsenal kendalian Arsene Wenger selama hampir empat tahun.

Statistik itu menjadikannya sebagai salah seorang penggempur berbisa dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan membuatkan dua buah kelab berpangkalan di Manchester iaitu City dan United berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Sepertimana kita sedia maklum, Sanchez memilih untuk menandatangani kontrak bersama skuad Red Devil kendalian Jose Mourinho di waktu itu. Manakala United dan Arsenal pula bersetuju untuk melakukan swap deal di mana United mendapatkan khidmat Sanchez dan Arsenal mendapatkan Henrikh Mkhitaryan.

Namun kehadiran Sanchez yang dibayar dengan gaji £350,000 seminggu, diberikan jersi nombor 7 serta diumumkan dengan satu video pengenalan sambil bermain piano gagal mengulangi pencapaiannya seperti di Arsenal. Malah dia lebih banyak menghabiskan masa dengan memanaskan bangku simpanan di United.

Dan pagi tadi, Sanchez membuat pengakuan yang mengejutkan mengenai masa suramnya ketika bersama United menerusi Instagram Live Video, Sanchez berkata, “Saya mahu bercerita mengenai pengalaman di United, beberapa perkara yang diperkatakan dan buatkan saya nampak teruk.

“Saya dapat peluang berhijrah ke United dan ia nampak mengiurkan untuk saya. Ia sesuatu yang hebat buat saya, kerana saya meminati kelab itu semasa kanak-kanak.

https://twitter.com/TheManUtdWay/status/1301662173589053443?s=20

“Akhirnya saya (buat keputusan) menandatangani (kontrak) tanpa mendapat maklumat secukupnya mengenai perpindahan itu. Ketika hari pertama saya (berlatih) bersama rakan sepasukan, kadangkala ada beberapa perkara yang tidak diketahui sehinggalah kamu tiba (di sana). 

“Selepas sesi latihan pertama saya menyedari banyak perkara (tidak kena). Saya pulang ke rumah dan beritahu kepada ejen saya: Boleh tak batalkan kontrak dan kembali ke Arsenal?” katanya seperti dipetik daripada Daily Mail.

https://www.instagram.com/tv/CEsLFWBFifK/?utm_source=ig_web_copy_link

Bagaimanapun, Sanchez sudah menandatangani kontrak selama empat tahun setengah dan tidak boleh berpatah balik ke Stadium Emirates. Dia juga mengakui pada awalnya dia sudah berunding untuk menyertai Manchester City kendalian Pep Guardiola sebelum United dan membuat tawaran kepada Arsenal.

Sepanjang bersama United, Sanchez hanya menjaringkan 5 gol dan mencipta 9 bantuan gol daripada 45 penampilan. Kini, dia telah mengikat kontrak bersama Inter Milan selama tiga tahun setelah bermain di San Siro secara pinjaman selama semusim, sepanjang musim 2019/20.

Featured Image: Manchester United

komen