City Football Group (CFG), pemilik kepada Manchester City mengumumkan mengambil alih sebuah kelab dalam saingan Ligue 2 Perancis, Esperance Sportive Troyes Aube Champagne (ESTAC) atau lebih dikenali sebagai Troyes, semalam.
Troyes diasaskan pada tahun 1986 dan bermain di halaman rasminya, Stade de l’Aube yang mempunyai 20,400 kapasiti tempat duduk. Pencapaian terbaik kelab ini adalah memenangi UEFA Intertoto Cup pada tahun 2001 dan juara Ligue 2 pada musim 2014/15.
City Football Group has today announced that Espérance Sportive Troyes Aube Champagne (ESTAC), in France’s Ligue 2, has become its tenth club, following DNCG review of the acquisition.
— Manchester City (@ManCity) September 3, 2020
🔷 #ManCity | https://t.co/axa0klD5re
CFG mengambil alih pegangan saham majoriti Troyes daripada pemilik lamanya, Daniel Masoni sekaligus menjadikannya kelab kesepuluh dikuasainya seluruh dunia. Sementara itu, ahli perniagaan Perancis, Maxime Ray turut membeli pegangan minoriti Troyes dan dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.
Sebelum ini, CFG telah menguasai Manchester City (England), New York City (Amerika Syarikat), Melbourne City FC (Australia), Yokohama F. Marinos (Jepun), Montevideo City Torque (Uruguay), Girona FC (Sepanyol), Sichuan Jiuniu FC (China), Mumbai City FC (India) dan Lommel SK (Belgium).
CFG yang ditubuhkan pada tahun 2013 dimiliki oleh Abu Dhabi United Group (ADUG) dengan pegangan saham sebanyak 77% selain China Media Capital (CMC) turut memiliki 13% saham dan Silver Lake sebanyak 10%.