Autobiografi “SAYA RAJAGOBAL” Bakal Menemui Pembaca Hujung Tahun 2020
September 4, 2020 Hafizuddin Omar

Bekas ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal mengumumkan akan menerbitkan autobiografinya pada hujung tahun 2020 atau awal tahun 2021.

Perkara itu diumumkan sendiri oleh King Gobal dalam satu perlawanan bola sepak rekreasi 7 sebelah anjuran Persatuan Sukan Rekreasi Malaysia (REKREASI) dan Padang Bola Sepak Dot Com di KV Rhino Arena, Shah Alam pada 31 ogos lalu.

Antara yang bakal disajikan kepada pembaca di dalam autobiografinya adalah kisah awal pembabitan Rajagobal dalam dunia bola sepak sebagai pemain yang bermula bersama pasukan kampung halamannya di Setapak Air Panas.

Selain itu, beliau yang juga satu-satunya jurulatih yang membimbing skuad Harimau Malaya menjuarai Piala AFF Suzuki turut menyentuh mengenai pengalamannya dalam mengendalikan pelbagai pasukan termasuk yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia.

Tidak dilupakan beberapa kisah menarik mengenai hubungan akrabnya dengan beberapa pemain bintang seperti Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha, Safee Sali dan lain-lain turut dimuatkan oleh Rajagobal dalam autobiografinya.

Untuk rekod, kelab terakhir yang dibimbing jurulatih berusia 64 tahun itu adalah Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) sebelum pasukan itu ditukarkan menjadi skuad simpanan, Selangor 2 pada tahun ini.

Komen