VIDEO: Pukulan ‘Tak Cermat’ Ke Arah Penjaga Garisan Menyebabkan Djokovic Tersingkir 2020 Us Open
September 7, 2020 Hafizuddin Omar

Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic disingkirkan daripada saingan Terbuka Amerika Syarikat (Us Open) 2020 selepas memukul bola ke arah penjaga garisan di dalam gelanggang.

Ianya berlaku semasa Djokovic menentang pemain Sepanyol, Pablo Careno Busta pada pusingan keempat kejohanan Grand Slam yang berlangsung di kota New York. Pada waktu itu, Djokovic sedang ketinggalan 6-5 pada set pertama di Stadium Arthur Ashe.

Dipercayai berang dengan keputusan semasa, insiden itu berlaku selepas Djokovic menyeluk bola di dalam poketnya. Dia yang sedang memandang ke arah lain terus melakukan pukulan ke arah belakang untuk ‘membuang’ bola tersebut.

Tanpa dia sedari, bola pukulan itu mengenai terus ke leher penjaga garisan wanita di belakang. Penjaga garisan tersebut jatuh terduduk dan mengalami kesukaran untuk bernafas selepas daripada insiden itu.

Djokovic yang menyedari insiden tersebut dengan pantas berlari ke arah penjaga garisan tersebut untuk membantunya.

Tonton insiden tersebut menerusi pautan video di bawah:

Selepas itu, Djokovic dan pengadil perlawanan, Soeren Friemel berbincang sekitar 10 minit berkenaan insiden yang berlaku.

Akhirnya, pengadil tersebut mengambil keputusan mengumumkan lawannya, Carreno Busta sebagai pemenang sekaligus menyebabkan Djokovic tersingkir daripada kejohanan tersebut.

Pemain tenis Serbia itu segera meninggalkan gelanggang sejurus daripada pengumuman itu. Dia bersalaman dengan Carreno Busta tetapi tidak bersalaman dengan pengadil tersebut.

Menerusi laman sosialnya, Djokovic telah membuat pengakuan meminta maaf atas insiden yang tidak disengajakan itu.

Featured Image: ATP Tour

Komen