Artikel

KV Kortrjik Perlu Kawal Publisiti Terhadap Luqman Hakim

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Abu Bakar tidak senang dengan publisiti ‘melampau’ yang diberikan oleh KV Kortrijk terhadap penyerang muda, Luqman Hakim Shamsudin.

Publisiti sebegitu boleh menyebabkan tumpuan Luqman untuk berlatih dan menyesuaikan diri dengan bola sepak dan rakan sepasukan di Belgium terganggu.

“Saya takkan buka mulut kalau Luqman tak cakap apa-apa. Saya berinteraksi dengan dia setiap hari. Dia cakap nak berlari pun nak kena senyum tengok kamera.

“Luqman bukanlah mengeluh, tetapi saya secara peribadi tahu dia sebagai pemain muda sedikit sebanyak merasai tekanan itu.

“Bagi saya janganlah terlalu banyak beri tumpuan kepada Luqman. Biarkan dia berlatih dan fokus di sana,” kata Safirul seperti dipetik daripada Sinar Harian.

https://www.instagram.com/p/CETdMLkJgdS/

Sebagai orang yang terlibat secara langsung dalam industri sukan bola sepak, Safirul memahami setiap pasukan bola sepak mahu mengambil peluang untuk mendapatkan publisiti daripada pemain-pemain yang mempunyai nama.

Lebih-lebih lagi sebarang perkara yang melibatkan Luqman dimuat naik di media sosial mendapat sambutan yang menggalakkan sekaligus meningkatkan engagement buat KV Kortrijk.

Bagaimanapun, ianya mestilah dihadkan kepada perkara-perkara di dalam padang sahaja dan tidak melibatkan hal-hal peribadi penyerang berusia 18 tahun tersebut.

“Tengoklah kalau sesuatu hantaran di laman sosial Kortrijk mengenai Luqman, banyak reply dan tag terhadapnya.

“Bayangkan dia nak tidur pun masih perlu layan benda-benda macam ni. Bagi penyokong mungkin perkara biasa, tetapi kita tidak tahu mungkin ada kesan terhadapnya.

“Lagipun, ini bukan program realiti yang orang perlu tengok kehidupan seharian Luqman. Dia ke sana untuk bermain sebagai seorang pemain profesional. Jadi, kelab kena kawal.

“Saya rasa setiap kelab ada polisi terutama membabitkan pemain muda iaitu mereka perlu hadkan tumpuan. Lagipun saya tengok, pemain lain yang baru masuk ke kelab itu tidak pun menjadi tumpuan sama seperti yang diberikan kepada Luqman.

“Saya tidak pasti sama ada tujuan berita Luqman di media sosial itu untuk menarik minat rakyat Malaysia, tetapi janganlah terlalu kerap kerana ada mudaratnya,” katanya lagi.

Baru-baru ini, KV Kortrijk berkongsikan sebuah video mengenai debut yang diraih oleh Luqman bersama skuad senior dalam satu perlawanan persahabatan.

Dalam penampilan sulung tersebut, Luqman berhasil menjaringkan satu gol. Berdasarkan pemerhatian, hantaran video tersebut di Facebook telah mencatatkan sekitar 1000 komen, 1000 perkongsian dan 13,000 reaksi.

Featured Image: KV Kortrijk  

komen