5 Pemain Chelsea Bakal Terkorban Dengan Kehadiran Kai Havertz
September 7, 2020 Hafizuddin Omar

Chelsea berjaya mendapatkan khidmat pemain tengah, Kai Havertz setelah membayar harga sebanyak £70 juta pound kepada kelab Jerman, Bayer Leverkusen. Perkara itu diumumkan secara rasmi pada sabtu lalu.

Pemain muda berbakat berusia 21 tahun itu mengikat kontrak selama lima tahun bersama pasukan yang dikendalikan oleh Frank Lampard. Corak permainan Havertz boleh dikatakan mirip kepada campuran di antara bekas pemain skuad kebangsaan Jerman, Michael Ballack dan Mesut Ozil.

Sepanjang beraksi bersama skuad senior Bayer Leverkusen, statistik menunjukkan Havertz merekodkan 150 penampilan, menjaringkan 46 gol dan menghasilkan 31 bantuan gol sejak empat tahun lalu.

Dengan harga perpindahan mega, statistik yang memberangsangkan disamping umur yang masih muda, Havertz dijangka menjadi ‘auto starter’ dalam membarisi kesebelasan utama Chelsea.

Dengan situasi sebegitu, pastinya terdapat beberapa pemain yang hilang tempatnya dalam kesebelasan utama dan terpaksa memanaskan bangku simpanan sepanjang musim depan. Di sini, kami senaraikan lima pemain yang bakal terkorban dengan kehadiran Kai Havertz di Chelsea:

5. Ruben Loftus-Cheek

Foto: Chelsea

Setelah 13 bulan diketepikan ekoran kecederaan achilles, graduan akademi Chelsea berusia 24 tahun ini kembali dalam kesebelasan utama ketika menentang Asto Villa pada julai lalu. Boleh memainkan peranan selaku centre midfielder, attacking midfielder dan defensive midfielder, prestasi Loftus-Cheek nyata perlu digilap kembali.

Untuk menggilap kembali prestasinya, Loftus-Cheek perlu diberikan peluang untuk bermain tetapi dengan kehadiran Havertz, perkara ini sukar untuk diberikan Lampard memandangkan pemain-pemain lain juga turut merebut untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

4. Ross Barkley

Foto: Chelsea

Pemain kelahiran England, Ross Barkley mempunyai peranan yang hampir sama dengan pemain baharu, Havertz. Musim lalu, dia hanya membuat 21 penampilan dalam siangan Liga Perdana Inggeris (EPL) selain daripada menjaringkan 5 gol dan mencipta 5 bantuan gol dalam semua kejohanan. 

Jika dilihat kepada statistik tersebut, besar kemungkinan Barkley hanya diturunkan oleh Lampard untuk menggilirkan pemain utama dan hanya muncul dalam kejohanan kurang keutamaan seperti Piala Carabao atau Piala FA.

3. Callum Hudson-Odoi

Foto: Chelsea

Callum Hudson-Odoi yang berusia 19 tahun antara pemain muda Chelsea yang menjadi sebutan dalam saingan musim lalu. Pemain ini boleh beraksi di mana-mana bahagian posisi attacking midfielder (AM) samada kiri, tengah mahupun kanan. 

Walaupun mencatatkan 35 penampilan musim lepas, posisi AM hampir pasti akan diberikan kepada Havertz. Di bahagian kiri, Hudson-Odoi perlu berebut tempat bersama Christian Pulisic. Mungkin peluangnya cerah untuk bermain di bahagian kanan memandangkan Hakim Ziyech dilaporkan mengalami kecederaan.

2. Mateo Kovacic

Foto: Chelsea

Pemain kelahiran Croatia ini tiba di Stamford Bridge pada tahun 2018. Awalnya dia dipinjam oleh Chelsea daripada Real Madrid sebelum memuktamadkan untuk membelinya pada julai 2019. 

Musim lalu, Kovacic lebih banyak beroperasi sebagai centre midfielder (CM) dan memainkan peranan tersebut dengan cemerlang. Pada masa yang sama, dia juga boleh memainkan peranan selaku attacking midfielder (AM) dan defensive midfielder (DM). 

Namun untuk posisi CM dan DM, kelihatan Jorginho dan N’golo Kante lebih menjadi kegemaran Lampard. Manakala Havertz hampir pasti mengisi posisi AM dan nampaknya dia bakal menjadi korban untuk memanaskan bangku simpanan untuk saingan liga akan datang.

1. Mason Mount

Foto: Chelsea

Antara bakat muda yang mendapat perhatian ramai musim lalu, Mason Mount sepertimana Ross Barkley juga mempunyai peranan yang hampir sama dengan Havertz. Mencatatkan 53 penampilan, menjaringkan 8 gol serta merekodkan 6 bantuan gol tetapi Mount hampir pasti menjadi korban Chelsea yang paling besar dengan ketibaan Harvetz di Stamford Bridge menjelang saingan musim 2020/21.

Komen