Manchester United sah akan menggunakan jersi ketiga bercorak kuda belang untuk saingan baharu, musim 2020/21.
Perkara itu disahkan sendiri oleh bekas pemain lagenda, David Beckham setelah dia memuat naik gambar menggayakan jersi Manchester United keluaran Adidas di laman sosialnya, semalam.
“Amat suka dengan jersi baharu United (ini).” tulis pemain yang cukup sinonim dengan jersi bernombor tujuh ketika bersama skuad Red Devil suatu masa dahulu.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengumuman rasmi daripada Manchester United mahupun syarikat Adidas berkenaan jersi ketiga tersebut setakat ini.
Berdasarkan pemerhatian kami pada hantaran yang dibuat oleh Beckham, jersi ketiga itu mengundang reaksi yang pelbagai daripada kalangan peminat.
Ramai yang mengkritik corak jersi tersebut dan tidak kurang juga yang menyukainya.
Untuk rekod, Beckham merupakan pemain Manchester United sejak dari zaman remajanya iaitu dari tahun 1991 sehingga tahun 2003.