Kelab berpangkalan di London, Arsenal telah mengumumkan ketua jurulatihnya, Mikel Arteta dinaikkan pangkat sebagai pengurus pasukan yang baharu, berkuat kuasa serta merta, semalam.
Menurut kenyataan rasmi kelab, sepanjang sembilan bulan lalu, Arteta telah mengemudi Arsenal mengharungi waktu yang sukar dengan cemerlang. Dia bukan sahaja mengangkat semangat para pemain dan pelatih di London Colney malah peminat-peminat The Gunners seluruh dunia.
Selain itu, Ahli Lembaga Pengarah (Board of Directors) Arsenal turut melihat apa yang dilakukan oleh Arteta sebelum ini melebihi daripada tugas-tugas seorang ketua jurulatih. Malah kemampuan bekas penolong pengurus kepada Pep Guardiola di Manchester City ini tidak dapat diragui lagi setelah membawa Arsenal menjulang dua piala setakat ini.
Sebagai pengurus pasukan, Arteta akan berkerja dengan lebih dekat bersama Pengarah Teknikal, Edu untuk menguruskan elemen-elemen lain dalam operasi pasukan bola sepak seperti analisis, perekrutan pemain, sains sukan dan perubatan.
Dan Arteta yang juga merupakan bekas kapten Arsenal suatu masa dahulu akan bersama-sama Edu untuk memberi nasihat atau cadangan teknikal berkenaan perpindahan para pemain yang perlu dibeli, dijual atau dipinjamkan.
Selain itu, Arteta akan berkerja dengan lebih rapat bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Vinai Venkatesham, ahli lembaga pengarah dan pemilik kelab berkenaan hal ehwal kewangan untuk memberi kata putus terhadap keputusan-keputusan penting.
Arsenal mengharapkan dengan perlantikan Arteta sebagai pengurus, skuad The Gunners dapat menjadi sebuah kelab bola sepak yang lebih dinamik serta dapat mara lebih jauh ke hadapan.
Untuk rekod, jawatan pengurus pasukan telah dimansuhkan oleh Arsenal setelah pemergian Arsene Wenger pada tahun 2018. Selepada daripada itu, tugasan mengemudi skuad senior hanya diletakkan di atas bahu ketua jurulatih.
Featured Image: Arsenal