Azizulhasni Awang merupakan atlet yang mewakili Malaysia dalam acara berbasikal trek dalam pelbagai pertandingan samada peringkat domestik mahupun antarabangsa.
Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu ini menjadi sebutan rakyat Malaysia dan antarabangsa apabila menjuarai acara keirin pada Kejohanan Trek Dunia 2017 di Hong Kong sekaligus bergelar Raja Keirin.
Semasa tahun 2018, Azizul atau lebih mesra dengan nama panggilan Jijoe mewakili Malaysia untuk beraksi dalam temasya Sukan Asia yang bertempat di Jakarta-Palembang.
Sayangnya, dalam temasya tersebut dia hanya meraih pingat gangsa apabila menamatkan acara keirin kategori lelaki di tempat ketiga. Namun, ada satu pengalaman manis yang tidak dilupakan oleh pelumba berusia 32 tahun ini di sana.
Menurut satu perkongsian di laman sosialnya, Azizul melahirkan rasa kagum bagaimana orang Indonesia menitikberatkan serta menawarkan solusi bernas dalam melaksanakan kewajipan dalam beragama.
“Teringat kembali ketika salah satu perlumbaan yang jatuh pada hari Jumaat.
“Antara perkara yang saya paling respect dengan orang Indonesia ni adalah mereka menitik beratkan soal agama dan mencari solusi yang bernas.
“Saya dan rakan-rakan jangkakan yang kami tidak dapat solat Jumaat dan hanya solat Zohor sahaja.
“Namun terkejut saya melihat mereka berkumpul di tengah-tengah Velodrome dan memulakan khutbah.
“Sungguh teruja dan tidak membuang masa, saya terus mengambil wudu’ dan menyambung saf bersama rakan-rakan Muslim yang lain dari pelbagai negara.
“Ketika ini pelumba-pelumba dari negara lain yang bukan beragama Islam melihat gelagat kami semua.
“Saya harap ini memberikan satu perspektif positif dan mereka dapat lihat yang orang Islam dalam mengejar duniawi mereka masih mementingkan soal agama dan tidak mengambil mudah walaupun dalam kejohanan yang penting dan sebesar itu.
“Tambahan, semua pelumba-pelumba beragama islam dari pelbagai negara yang bersaing diatas Velodrome duduk dalam satu saf dan lupakan sebentar soal perlumbaan demi mengadap Allah swt.” kongsi Azizul yang turut digelar sebagai The Pocket Rocketman, hari ini.
Untuk rekod, Azizul telah meraih tiga pingat gangsa, satu pingat perak dan satu pingat emas dalam Kejohanan Trek Dunia. Azizul juga telah meraih satu pingat gangsa dalam temasya Olimpik, empat tahun lalu di Rio.
Sukan Olimpik yang seterusnya bakal berlangsung pada julai 2021 kelak. Jijoe sekali lagi diletakkan sebagai sandaran utama untuk meraih pingat emas pertama buat Malaysia.
Ketika ini, Azizul merupakan pelumba kedua terbaik dunia dalam acara keirin di belakang pelumba Belanda, Harrie Lavreysen menurut senarai yang dikeluarkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Featured Image: Azizulhasni Awang