Pelumba Monster Energy Yamaha, Valetino Rossi semakin percaya dirinya mampu meraih kejuaraan dunia kesepuluh selepas tamat di kedudukan keempat perlumbaan GP San Marino, ahad lalu.
Keyakinan itu diraih selepas pelumba berusia 41 tahun itu menduduki tempat ke-6 dalam carta kedudukan keseluruhan MotoGP 2020 dengan 58 mata.
Rossi hanya dibezakan 18 mata dengan pendahulu, Andrea Dovizioso yang mempunyai 76 mata.
Bagaimanapun, pelumba kelahiran Itali itu perlu konsisten untuk menamatkan perlumbaan-perlumbaan seterusnya dengan menaiki podium agar impiannya itu dapat dikecapi.

“Ia mula menjadi semakin menarik, tetapi saya harus pergi lebih laju, jika saya tamat di kedudukan kedua, saya hanya dibezakan 11 mata dengan pendahulu.” katanya dikutip daripada Tuttomotoriweb.
Dalam saingan yang berlansung di Itali itu, Rossi telah menduduki tempat kedua hampir sepanjang perlumbaan.
Namun di penghujung perlumbaan, Rossi dipintas oleh Francesco Bagnaia (Pramac Racing) dan Joan Mir (Suzuki Ecstar) sekaligus membuatnya berputih mata untuk menaiki podium.
Perlumbaan MotoGP 2020 menjadi sangat menarik apabila pelumba handalan Honda, Marc Marquez terpaksa berehat panjang selepas terlibat dalam kemalangan.
Disebabkan hal itu, setakat enam perlumbaan yang telah diharungi, empat pelumba telah muncul sebagai juara iaitu Franco Morbidelli (Petronas SRT), Andrea Dovizioso (Ducati), Brad Binder (KTM Factory) dan Fabio Quatararo (Petronas SRT).
Featured Image: Monster Energy Yamaha MotoGP