Kelantan FC Selesai Tunggakan Gaji Melibatkan 15 Bekas Pemain Dan Pegawai
September 18, 2020 Hafizuddin Omar

Pasukan berpangkalan di pantai timur, TRW Kelantan FC mengumumkan telah menyelesaikan segala tunggakan gaji melibatkan 15 bekas pemain dan pegawai pasukan.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu siaran media yang diedarkan pada hari ini.

Tunggakan itu melibatkan bekas pemain tempatan dan juga luar negara. Antaranya Khairul Fahmi Che Mat, Brendan Gan, Mohd Nor Farhan Mohamad, Mohd Badhri Mohd Radzi, Amiridzwan Taj Tajudin, Falvio Beck Junior, L’Iman Seydi dan beberapa lagi.

Selain itu, pasukan yang diambil alih oleh pemilik baharu, Norizam Tukiman turut melangsaikan hutang-hutang melibatkan bekas pegawai-pegawai pasukan termasuk ketua jurulatih pada ketika ini, Yusri Che Lah.

Sebagai tambahan, mereka turut memaklumkan melangsaikan tunggakan enam bulan lalu melibatkan pemain-pemain sedia ada yang beraksi bersama Kelantan FC dalam saingan Liga Premier 2020.

Pada masa yang sama, TRW Kelantan FC komited untuk menjaga kebajikan para pemain dan pegawai bagi memastikan pasukan sentiasa bersemangat tinggi dan berprestasi tinggi.

Featured Image: TRW Kelantan FC

Komen