Kita sedia maklum bahawa penyerang naturalisasi kebangsaan, Mohamadou Sumareh secara rasminya telah bergelar pemain kepada sebuah kelab berpangkalan di Thailand, Police Tero FC sehingga hujung tahun ini.
Sebelum itu, Sumareh bertindak menamatkan kontraknya bersama Pahang atas alasan tidak menerima gaji lebih daripada sebulan sekaligus menjadikannya sebagai pemain ejen bebas.
Baru-baru ini, menurut laporan media tempatan, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Khalid Ali membuat andaian bahawa tindakan penyerang kelahiran Gambia meninggalkan Pahang dan bermain bersama Police Tero FC sebagai satu persinggahan atau ‘cooling period’ sebelum kembali ke Malaysia untuk bermain bersama pasukan yang diidami.
Dan ternyata andaian yang dibuat Khalid itu tepat sama sekali apabila pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim membuat pendedahan mengenai tawaran kontrak yang dikemukakan oleh Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) kepada Sumareh, awal pagi tadi menerusi satu muat naik di Instagram Story milik baginda.
Berdasarkan muat naik tersebut, Sumareh ditawarkan kontrak selama dua tahun dengan gaji asas sebanyak USD 17,000 atau sekitar RM70,000 sebulan tidak termasuk bonus serta elaun tambahan. Selain itu, Sumareh turut diletakkan klausa pelepasan kontrak sebanyak RM3 juta.
Bagaimanapun, menerusi pendedahan perbualan di antara Sumareh dan Setiausaha Agung FAS, pemain penyerang sayap berusia 26 tahun berunding untuk mendapatkan gaji asas sebanyak USD 20,000 atau sekitar RM83,000 sebulan sebelum menurunkan tandatangannya di atas kontrak bersama skuad Red Giants.
Kedua-dua belah pihak dijangka bakal bertemu untuk mengikat kontrak tersebut sebelum daripada Sumareh berlepas ke ibu kota negara jiran, Bangkok.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers