Artikel

Cadangan Bernas Azizulhasni Bina Trek Basikal Akan Dibincangkan – Menteri Belia & Sukan

Cadangan pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang supaya membina trek basikal berasingan untuk pengguna basikal sepertimana negara jiran tetangga, Thailand akan dibincangkan oleh kerajaan.

Perkara itu diperkatakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican setelah berbincang dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong beberapa hari lalu.

Beliau menyedari komuniti berbasikal dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat akhir-akhir ini. Ia bukan sahaja menarik minat rakyat marhaen malah pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan status.

Justeru, pihaknya tidak mahu ‘membunuh’ aktiviti yang sihat ini namun pada masa yang sama mengambil maklum akan rungutan orang ramai terhadap perkara-perkara membahayakan pengguna di jalan raya.

“Kita memahami minat berbasikal mereka, kita juga kena pastikan mereka berada dalam keadaan selamat, tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain. We must strike a balance between them.”

“Selepas berbicara dengan Menteri Pengangkutan tadi (beberapa hari lalu), saya fikir dalam masa terdekat ini, kita mungkin mengadakan sesi libat urus dengan komuniti berbasikal ini serta pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk mendapatkan pandangan.” 

“Dengan cara ini, kita boleh mencari jalan yang lebih tuntas agar kita tidak mengekang aktiviti sukan berbasikal ini untuk terus dilakukan secara giat dan aktif dan pada waktu yang sama, ia tidak akan membawa kepada sebarang bentuk bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.” 

“Misalnya, cadangan pelumba berbasikal trek, saudara Azizulhasni Awang, tentang membina trek berasingan (dedicated track) adalah sesuatu yang boleh kita bincangkan.” tulis Reezal di laman sosialnya.

Terdahulu, Azizulhasni atau lebih mesra dengan panggilan Jijoe melontarkan cadangan supaya pihak kerajaan menguatkuasakan peraturan untuk pengguna basikal, mengadakan kempen kesedaran keselamatan berkayuh dan membina litar khusus sepertimana dibuat oleh negara jiran tetangga di Bangkok iaitu Skylane Bangkok.

Ia bertujuan untuk melindungi kedua-dua pengayuh basikal dan pengguna lain di jalan raya dalam negara ini berbanding saranan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mahu pengguna basikal memohon lesen dan basikal pula diletakkan nombor plat pendaftaran.

Featured Image: Azizulhasni Awang

komen