Percubaan pasukan berpangkalan di Lembah Klang, Selangor untuk mendapatkan khimat penyerang naturalisasi kebangsaan, Mohamadou Sumareh tidak menyalahi mana-mana peraturan.
Kenyataan itu diberikan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon disamping menyatakan pihaknya telah mendapatkan nasihat daripada badan induk bola sepak negara, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Pada masa yang sama, Dr. Johan turut menegaskan bahawa ‘pinangan’ mereka terhadap Sumareh bukan punca utama penyerang berusia 26 tahun itu membuat keputusan untuk membatalkan kontrak bersama pasukan lamanya, Pahang.
“Bagi pihak FAS kita tak langgar apa-apa peraturan. Saya pun siap minta kebenaran daripada FAM lagi, sebelum berunding dengan Sumareh untuk tahu tentang status dia.
“Dari pihak Selangor kita nak buat sesuatu dengan cara betul dan saya difahamkan kita boleh berunding dengan Sumareh berdasarkan perbualan saya dengan pengurusan tertinggi FAM.
“Saya boleh jamin itu bukan puncanya (FAS punca Sumareh tinggalkan Pahang). Cuma saya tak boleh cerita lebih sebab nanti akan jadi lebih besar. Masalah dia dengan Pahang kami tak masuk campur,” katanya seperti dilaporkan oleh Harian Metro.
Semalam, percubaan Selangor untuk mendapatkan khidmat Sumareh tular di laman sosial selepas didedahkan kepada umum oleh pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim.
Menurut draf kontrak tersebut, Sumareh ditawarkan gaji berjumlah sekitar RM70,000 sebulan dengan kontrak selama dua tahun bermula januari 2021 sehingga januari 2023 – selepas tamat khidmatnya bersama pasukan Police Tero FC pada hujung tahun ini.
Selain itu, turut disertakan di dalam draf kontrak tersebut adalah klausa pelepasan kontrak berjumlah RM3 juta dan keuntungan sebanyak 20% yang akan diterima Sumareh sekiranya mana-mana pasukan lain membayar amaun tersebut.
Turut tersebar dalam pendedahan tersebut adalah perbualan rundingan di antara Pengarah Teknikal (TD) FAS, Michael Feichtenbeiner bersama Sumareh dan juga Dr. Johan sendiri.
“Seperti saya kata tadi, kita tak langgar apa-apa kesalahan. Tawaran itu biasa seperti kami tawarkan kepada mana-mana pemain lain. Sama ada dia nak terima atau menolak itu terpulang kepada Sumareh.
“Berkaitan proses rundingan yang dibuat sendiri Feichtenbeiner tak salah, kerana beliau adalah TD dan tahu apa corak dan DNA yang sesuai untuk Selangor.
“Bila kita merancang untuk tahun depan, kita akan merisik beberapa pemain tapi kita tak tandatangan sesiapa pun, cuma kita merisik mereka dan lihat apa faedah yang mereka boleh dapat kalau main dengan kita.
“Jadi Feichtenbeiner ini memang terbabit secara langsung dalam beberapa sesi rundingan kerana beliau yang akan rancang persediaan Selangor untuk musim depan,” katanya lagi.
Featured Image: Pahang FA