Novak Djokovic Tawan Kota Rom, Pintas Rekod Rafael Nadal
September 23, 2020 Hafizuddin Omar

Pemain tenis Serbia, Novak Djokovic memastikan persiapan beliau menjelang Roland Garros berada dalam tahap terbaik apabila menjuarai kejuaraan Terbuka Itali di Rom.

Kejayaan itu berlaku selepas Djokovic berjaya menewaskan Diego Schwartzman dengan kemenangan straight set 7-5, 6-3.

Kemenangan itu menjadikan Djokovic kini berjaya merangkul gelaran Terbuka Itali yang kelima dalam kariernya.

Lebih manis, beliau kini berjaya mengatasi rekod kejuaraan kejuaraan Masters 1000 yang dipegang Rafael Nadal dengan memperoleh 36 kejuaraan.

Dalam perlawanan tersebut, Djokovic jelas sekali bermula perlahan apabila ketinggalan 0-3 pada set pertama. 

Jalan yang panjang terpaksa diambil beliau dan berjaya mematahkan servis Schwartzman untuk mendapatkan set pertama dengan 7-5.

Di set kedua, Djokovic sekali lagi bermula perlahan apabila Schwartzman berjaya mematahkan servisnya tetapi kali ini beliau lebih pantas untuk memberikan respon.

Djokovic menaikkan tempo permainan dan kemudiannya berjaya mematahkan semula servis Schwartzman untuk memastikan kejuaraan menjadi miliknya dengan memenangi set kedua 6-3.

Bercakap selepas merangkul kejuaraan, Djokovic mengatakan ianya bukanlah satu minggu yang mudah di Rom buatnya tetapi beliau tetap gembira dengan pencapaianya.

“Ianya adalah minggu yang baik, dan cukup mencabar buat saya,” katanya menerusi Sky Sports.

“Saya tak rasa yang saya bermain tenis yang mantap sepanjang minggu, tetapi aksi terbaik saya muncul pada waktu yang paling saya perlukan.”

“Situasi ini jelas sekali membuatkan saya berasa puas dan bangga kerana saya berjaya menemui ‘gear kelima’ pada waktu yang paling diperlukan.”

Featured Image: Novak Djokovic

Komen