Bekas Bos Pasukan Ferrari, Domenicali Bakal CEO Baharu F1?
September 23, 2020 Hafizuddin Omar

Bekas bos pasukan Scuderia Ferrari, Stefano Domenicali disebut-sebut sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu untuk sukan Formula One (F1) menurut satu laporan oleh RaceFans.

Ketika ini jawatan tersebut disandang oleh Chase Carey. Beliau telah memegang jawatan tersebut sejak F1 diambil alih oleh Liberty Group pada awal 2017.

Carey juga merupakan Pengerusi F1 pada ketika ini, dan dilaporkan akan terus bersama sukan tersebut sebagai pengerusi, namun bukan lagi sebagai CEO.

Andai berita ini benar-benar menjadi kenyataan, ia akan melihat Domenicali kembali semula ke F1 selepas kira-kira enam tahun meninggalkannya.

Domenicali memulakan kerjayanya dalam F1 bersama Scuderia Ferrari pada tahun 1991.

Beliau mengambil alih peranan sebagai bos pasukan Ferrari pada 2008 daripada Jean Todt, yang seterusnya memenangi kejuaraan bersama pengeluar F1 pada tahun tersebut.

Domenicali meninggalkan Ferrari dan F1 selepas prestasi yang hambar ditunjukkan pasukan pada awal musim 2014.

Beliau seterusnya bekerja bersama syarikat kereta sukan mewah, Lamborghini dan tidak pernah kembali lagi ke F1.

Featured Image: Scuderia Ferrari

Komen