Balenciaga Keluarkan But Bola ‘T20’ Berharga Sekitar RM3000 Sepasang
September 24, 2020 Hafizuddin Omar

Jenama fesyen mewah, Balenciaga mengumumkan mengeluarkan but bolanya tersendiri dan diletakkan dengan harga semahal $725 atau sekitar RM3000.

But bola rekaan syarikat berpangkalan di Kota Paris ini hadir dalam tiga edisi warna iaitu hitam, putih dan kuning neon.

Rekaannya amat ringkas dan klasik dengan hanya perkataan ‘Balenciaga’ tertera di bahagian lidah atas selain daripada logonya di bahagian atas tumit.

Walaupun rekaannya tampak ringkas dan klasik, namun ianya adalah leather-free dan dibuat menggunakan sejenis bahan iaitu polyurethane. Menurut laman sesawangnya, but ini dibuat di China.

Mereka menggelarkannya sebagai ‘Soccer Sneaker’ dan menurut beberapa laman sesawang fesyen, but ini turut direka untuk kegunaan berjalan seharian.

Apabila melihatnya dengan lebih teliti, but bola Balenciaga ini mirip kepada rekaan syarikat pakaian sukan Itali, Diadora yang disarung oleh penyerang handalan Francesco Totti.

Selain daripada but bola, Balenciaga turut membuat jersi untuk sukan bola sepak dan diletakkan dengan tanda harga lebih daripada $1000 sehelai.

Difahamkan but bola tersebut boleh boleh di pra-tempah menerusi laman sesawang rasminya, balenciaga.com bermula hari ini. 

Komen