Artikel

Selepas ‘Belajar’ Dengan TMJ, Norizam Bertemu Pemilik Cardiff City Pula

Nampaknya usaha Norizam Tukiman untuk membangunkan kembali TRW Kelantan FC tidak terhenti dengan mendapatkan nasihat daripada pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim sahaja.

Kali ini, Norizam yang mengeluarkan belanja sebanyak RM6.8 juta untuk memiliki pasukan berpangkalan di pantai timur itu meluangkan masa untuk bertemu dengan ahli perniagaan dan pemilik Cardiff City FC, Tan Sri Vincent Tan.

Dalam pertemuan yang diadakan di Pulau Perhentian, Terengganu itu, Norizam mendapatkan pandangan daripada Vincent khususnya mengenai perniagaan dan dunia bola sepak.

“Satu penghormatan besar buat saya di mana semua orang mengetahui Tan Sri Vincent Tan bukan sahaja berjaya di dalam dunia perniagaan sebaliknya bola sepak.

“Beliau antara salah seorang idola saya dan sudah pasti pertemuan dengan Tan Sri Vincent Tan telah memberikan banyak aspek positif kepada diri saya ketika mengemudi Kelantan FC nanti.

“Apa yang pasti, saya akan mendengar nasihat dan tunjuk ajar beliau di mana saya berharap Kelantan FC akan berjaya di masa akan datang,” katanya seperti dipetik daripada laman Cakap Sukan.

Untuk makluman, Vincent mengambil alih Cardiff City pada tahun 2009. Di bawah pengurusannya, skuad yang terkenal dengan gelaran The Bluebirds berjaya meraih promosi ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak dua kali.

Selain daripada Cardiff City, Vincent turut memiliki dua buah lagi pasukan bola yang berpangkalan di eropah iaitu FK Sarajevo di Bosnia dan Herzegovina serta KV Kortrijk di Belgium.

Featured Image: TRW Kelantan FC

komen