Nama penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid bukan sahaja dijadikan sebagai idola dalam kalangan pemain bola sepak muda dalam negara.
Malah ianya turut menjadi idola buat seorang pemain luar negara berdarah Malaysia, Omar Raiyan yang beraksi bersama skuad remaja kelab Serbia, Red Star Belgrade.
Ketika ditemu ramah oleh Sukanz, pemain tengah muda berusia 15 tahun itu amat mengagumi gaya permainan Safawi yang juga penyerang kebangsaan, skuad Harimau Malaya.
Katanya, penyerang kelahiran Dungun, Terengganu itu mempunyai gelecekan laju untuk menewaskan pemain lawan. Selain itu, Omar menyukai kepandaian Safawi memilih ‘timing’ yang sesuai sebelum melakukan aksi penyudah menggunakan kaki kirinya.
“Saya berharap dapat menjadi sepertinya (Safawi) atau lebih bagus daripadanya dalam karier bola sepak,” ujar Omar.
Sempat juga Omar berkongsikan kepada kami mengenai pemain bintang bola dunia kegemarannya. Pemain itu ialah Neymar Jr. kelahiran negara Brazil dek kerana gaya permainannya yang licik di atas padang yang sering mengelirukan pemain-pemain lawan.
Disukai Oleh Jurulatih Kerana Versaliti
Kisah Omar bersama pasukan Red Star Belgrade atau dikenali sebagai FK Crevna Zvevda dalam kalangan rakyat Serbia bermula dengan hadir ke sesi pemilihan kelab beberapa ketika dahulu.
Tanpa diduga, kelibat Omar dalam sesi pemilihan itu berjaya menambat hati barisan kejurulatihan kelab sekaligus menempatkan dirinya bersama skuad remaja bawah 17 tahun Red Star Belgrade.
Ketika ini, Omar gemar beroperasi sebagai pemain tengah (centre midfielder). Tugasnya menjadi penghubung kepada barisan serangan hadapan menerusi hantaran tepat samada secara jauh ataupun dekat.
Dia turut menjadikan dirinya sebagai umpan kepada barisan pertahanan pasukan lawan justeru membuka peluang kepada rakan sepasukannya untuk mendapatkan gol.
Mudah kata, Omar merupakan perancang (playmaker) buat pasukannya. Selain itu, Omar disukai oleh jurulatihnya kerana menunjukkan kemampuan sebagai seorang pemain yang versatil.
Antara posisi lain yang boleh dimainkan oleh Omar adalah pertahanan kiri dan sayap kanan. Sewaktu sesi latihan baru-baru ini, Omar diberi tugasan sebagai penyerang.
Walaupun pada awalnya agak kekok bermain sebagai penyerang, namun Omar dapat melaksanakan tugasnya dengan baik seperti ‘setting the ball’ dan juga melakukan beberapa cubaan ‘shots on goal’ yang memuaskan dan menjaringkan gol untuk pasukannya.
Bakat Omar Dapat Perhatian Manchester City
Bercerita mengenai zaman kanak-kanaknya, Omar berkata dia mula menendang bola di dalam rumah sejak berusia sekitar 4 atau 5 tahun.
Untuk mengelakkan daripada pelbagai barangan dan perkakas rumah pecah akibat kerap terkena tendangannya, ibubapa Omar telah menghantarnya ke sebuah akademi bola sepak.
Dia dihantar bermain dan berlatih bersama ESM Football Academy (dahulunya dikenali sebagai E-Sports Football Club) ketika berusia 6 tahun. Kemudian Omar didaftarkan ke International Football Academy (IFA) sebelum berpindah ke Manchester City Football School di Abu Dhabi.
Sejak daripada itu, Omar telah menimba banyak ilmu mengenai bola sepak dan bakatnya turut mendapat perhatian wakil Manchester City ketika mereka turun ke sana untuk meninjau bakat-bakat baharu.