Tatkala UITM FC yang bergelar pendatang baharu untuk saingan CIMB Liga Super 2020 bakal menjadi pasukan belasahan, mereka menunjukkan sebaliknya.
Beberapa pasukan bertaraf gergasi dalam saingan bola sepak tempatan tersungkur apabila bertemu skuad The Lions ini.
Semuanya hasil daripada ‘air tangan’ ketua jurulatih, Frank Bernhardt dan antara perkara utama yang diberikan perhatian oleh jurulatih ini dalam mendapatkan hasil yang positif adalah menerapkan latihan berintensiti tinggi.
“Memang latihan di bawah Bernhardt agak berat di mana kadang-kadang kita bermula latihan awal pada jam 3 petang. Banyak latihan berintensiti tinggi yang dilakukan dan walaupun penat, pemain perlu menghadapinya.
“Tetapi dengan cara inilah kami berjaya memberikan persembahan yang bertenaga setiap kali beraksi. Apa yang dibawa ke UiTM FC oleh Bernhardt memang membantu dengan corak latihan Jerman selain ada sesi latihan yang agak berbeza.
“Contohnya pada awal musim lalu, latihan mengikut minggu di mana ada seminggu kami melakukan latihan kecergasan sahaja dan minggu seterusnya untuk menguatkan badan di gimnasium,” kata penyerang tempatan, Muhammad Rafie Mat Yaacob seperti dipetik daripada Berita Harian.
Ketika ini, Bernhardt yang merupakan bekas ketua jurulatih skuad Harimau Muda telah mengemudi UITM FC menduduki tangga ke-4 saingan liga dengan kutipan 14 mata daripada 19 perlawanan.
Malahan mereka berpeluang untuk merebut gelaran naib johan saingan liga musim ini sekiranya mendapatkan kemenangan dalam baki dua perlawanan dan pada masa yang sama, Perak dan Kedah keciciran mata.
Featured Image: Malaysian Football League