Artikel

Eric Dier: Tak Boleh Tahan, Kena Ke Tandas Juga

Sekitar minit ke-75 Eric Dier meninggalkan rakan sepasukannya dan berlari dengan pantas memasuki memasuki terowong ketika perlawanan menentang Chelsea, awal pagi tadi.

Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho yang bingung dengan tindakan pemainnya itu turut dilihat memasuki terowong dan mengejar Dier untuk mengetahui apakah yang membuatkan pemain 26 tahun keluar padang ketika permainan masih lagi berlangsung.

Pada saat itu, pasukan pelawat sedang mendahului 1-0 hasil jaringan Timo Werner dan Spurs sedang berhempas pulas untuk mencari gol penyamaan dalam aksi pusingan keempat kejohanan piala liga, Piala Carabao.

Rupa-rupanya pemain pertahanan England itu terpaksa ke tandas kerana ingin ‘melepaskan hajat’.

“Tiada apa yang boleh saya buat, dah tak boleh tahan, bila dah terasa (melepas hajat) terpaksa ke tandas juga.” jelasnya sambil ketawa.

“Saya dengar ada satu peluang gol (untuk Chelsea) ketika saya keluar padang tetapi syukur mereka tak dapat jaringkan gol.” tambah Dier lagi selepas daripada perlawanan.

Setelah selesai ‘melepaskan hajatnya’ Dier kembali ke dalam padang dan membantu pasukannya mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-84 yang dijaringkan oleh Erik Lamela.

Jaringan 1-1 itu kekal sehingga ke masa tamat dan pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti di mana ianya dimenangi oleh Spurs dengan keputusan 5-4.

Sementara itu, Eric Dier dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan (Man of The Match) di atas persembahan cemerlangnya dalam perlawanan ini.

Selepas daripada perlawanan, Dier turut membuat satu hantaran di laman sosialnya dengan memuat naik gambar anugerah MOTM di tandas bersertakan kapsyen, “The real M.O.M”

komen