Artikel

Eky Lebih ‘Bernafsu’ Buru Slot Piala AFC Berbanding Kasut Emas

Meskipun memimpin carta penjaring terbanyak CIMB Liga Super 2020, penyerang Perak, Shahrel Fikri tidak mahu memikirkan lagi soal merangkul anugerah kasut emas.

Tumpuan utama Shahrel atau dikenali sebagai Eky buat masa ini adalah membantu Perak melayakkan diri ke pentas antarabangsa iaitu saingan Piala AFC 2021. 

Untuk memastikan slot tersebut, Perak perlu merebut tempat selaku naib juara liga atau memenangi saingan Piala Malaysia, musim ini.

“Sememangnya ini adalah pencapaian membanggakan untuk saya kerana sebelum ini kalau kita tengok, selalunya pemain import yang mendominasi penjaring terbanyak, tetapi sekarang saya berjaya buktikan pemain tempatan juga mampu untuk berada di tahap ini.

“Kalau boleh memang saya nak tambah lagi gol untuk dua lagi perlawanan, tetapi macam-macam boleh jadi dan saya tidak mahu tamak untuk mengejar gol sebaliknya misi utama adalah untuk pastikan Perak menang.

“Dengan 9 gol sekarang, tidak jauh beza dengan penjaring lain seperti Tchetche Kipre (Kedah) dan lain-lain yang kini mengumpul 7 dan 6 gol, dan mereka juga pasti akan turut sama melakukan yang terbaik untuk prestasi masing-masing.

“Apa-apa pun, slot ke Piala AFC tetap diutamakan dan mahu atau tidak, kami kena menang dalam baki dua perlawanan ini,” katanya.

Ketika ini Perak sedang berada di kedudukan kedua dengan 17 mata dan diikuti rapat oleh Kedah dengan 16 mata.

Untuk memastikan tempat selaku naib juara CIMB Liga Super musim ini, Perak perlu memastikan menang dalam baki dua perlawanan menentang Pahang dan Kedah pada minggu ini dan minggu hadapan.

“Yang penting, kami tidak boleh leka dan perlu ingat, Pahang dan Kedah juga mesti tidak akan memberi laluan mudah kepada Perak kerana mereka juga enggan ketinggalan untuk menamatkan liga di kedudukan terbaik terutamanya Kedah.

“Saya percaya kami semua akan dapat kekalkan momentum yang ada ini selepas berdepan pelbagai cabaran daripada awal musim sehingga kini,” tambahnya.

Untuk rekod, Eky muncul satu-satunya pemain tempatan yang berada dalam carta penjaring terbanyak liga diikuti Tchetche Kipre (Kedah), Dominique Da Sylva (Terengganu FC) dan Ifedayo Omosuyi (Selangor) dengan tujuh gol manakala Gonzalo Cabrera (Johor Darul Ta’zim) telah mengumpul enam gol.

Featured Image: Malaysia Football League

komen