Sri Pahang FC – Inspirasi Daripada Dongeng Naga Tasik Chini?
October 1, 2020 Hafizuddin Omar

Skuad Tok Gajah dilaporkan bakal bergelar Sri Pahang FC selepas melengkapkan proses penswastaan seperti yang dikehendaki oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Perkara itu dilaporkan oleh media tempatan, Utusan Malaysia selepas menemu ramah pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang, semalam.

Hasil tinjauan di media sosial mendapati penggunaan nama ‘Sri Pahang’ oleh skuad Tok Gajah mengundang reaksi yang pelbagai daripada para peminat dan penyokong bola sepak tempatan.

Terdapat yang mengkritik kerana namanya yang tidak sinonim dengan pasukan bola sepak tetapi ada yang menyokong kerana unik dan berunsurkan tradisi setempat.

Namun tahukah anda bawah nama Sri Pahang atau Seri Pahang merupakan sebuah nama berdasarkan kisah dongeng rakyat Pahang iaitu naga di Tasik Chini – tasik kedua terbesar di Semenanjung Malaysia.

Kisahnya, di Pahang terdapat tiga ekor naga bernama Seri Gumum, Seri Pahang dan Seri Daik. Difahamkan Seri Gumum dan Seri Pahang berada di Tasik Chini, Pekan. Manakala Seri Daik tidak diketahui di mana kedudukan dan lokasinya.

Berdasarkan kisah orang tua-tua dahulu, dua ekor naga asing iaitu Seri Kemboja dan Seri Siam telah mengganggu kemakmuran dan keamanan negeri Pahang. Dan kedua-dua ekor naga Seri Gumum dan Seri Pahang inilah yang bertempur dengan dua naga asing tersebut.

Naga-naga tersebut digambarkan sebagai makhluk yang besar, panjang dan bersisik. Seri Gumum mempunyai badan bersisik besi dan Seri Pahang pula mempunyai sisik Perak. Kesemuanya mempunyai kekuatan dan kesaktian yang tersendiri.

Bagi penduduk kawasan sekitar Tasik Chini yang majoritinya terdiri kalangan suku Jakun, pelbagai kisah pernah diceritakan mengenai beberapa orang yang dikhabarkan berjumpa dengan makhluk yang dipecayai naga tersebut namun belum dapat dipastikan sehingga ke hari ini.

Setakat ini tiada sebarang ulasan rasmi daripada pihak Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mengenai pemilihan nama Sri Pahang FC ini. Pada masa yang sama, tiada sebarang makluman samada mereka bakal menggunakan logo sedia ada atau logo baharu.

Sumber: Negeri Pahang

Featured Image: Malaysian Football League

Komen