Peminat-peminat bola sepak tempatan diharapkan tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk melihat Luqman Hakim beraksi bersama skuad senior KV Kortrijk dalam masa terdekat.
Hal ini kerana Luqman perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai perkara seperti memahami gaya permainan rakan sepasukan dan juga corak permainan pengurusnya, Yves Vanderhaeghe.
“Saya masih perlukan masa lagi. Tidak mungkin dalam tempoh sebulan dua ini saya akan terus diserapkan dalam skuad utama.
“Cabaran saya ketika ini ialah memahami rakan sepasukan dan mereka juga perlu tahu apa yang saya perlukan. Ia agak sukar bagi saya, perkara ini normal buat pemain baru.
“Saya perlu cepat menyesuaikan diri kerana masing-masing belum memahami corak permainan masing-masing.” katanya seperti dipetik daripada Stadium Astro.
Sementara itu, Luqman turut menegaskan pemergian penyerang skuad senior, Terem Moffi ke kelab Perancis, FC Lorient tidak menjamin peluang buatnya untuk membarisi kesebelasan utama KV Kortrijk secara automatik.
Bagaimanapun, ketika ini Luqman sedang mengikuti latihan bersama skuad senior KV Kortrijk. Luqman berhasrat menggunakan peluang ini sebaik-baiknya untuk menambat hati pengurus pasukannya.
“Saya tidak boleh menganggap tempat saya terjamin hanya kerana kehilangan seorang penyerang dalam skuad utama.
“Kalau saya usaha, beri 100 peratus dalam latihan atau perlawanan persahabatan, saya mungkin berpeluang.
“Isnin hingga Khamis saya akan berlatih bersama skuad utama sementara akan kembali ke pangkuan skuad B-21 bagi menjalani persiapan perlawanan dengan mereka,” jelas Luqman lagi.
Featured Image: KV Kortrijk
komen
Tiada komen
Tiada lagi komen untuk artikel ini.
Jadi yang pertama untuk komen!