Nama sesebuah pasukan atau kelab bola sepak sepatutnya tidak menjadi polemik besar dalam kalangan penyokong di negara ini.
Menurut bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail, beliau berpandangan penerapan gaya pengurusan yang profesional jauh lebih penting untuk diberikan perhatian berbanding nama pasukan.
Pada masa yang sama, beliau kesal dengan peminat yang mengkritik serba-serbi pembaharuan yang dibuat sekaligus menghalang kemajuan sukan bola sepak di Malaysia.
“Jangan fikir nama (pasukan) itu Hanelang ke, Boboi FC ke, yang penting sekarang ini kita sudah mula bergerak ke satu langkah yang mana semua pasukan mesti diswastakan.
“Jadi bila swasta, banyak rintangan perlu dilalui dan kita kena bagi sokongan.
“Jangan kecam, ini nama (pasukan) pun sudah kutuk, bagaimana bola sepak kita nak terus maju.” katanya seperti dipetik daripada Berita Harian.
Sepanjang minggu ini, kecoh apabila Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengumumkan akan menggunakan nama Darulaman FC sebagai nama baharu pasukan setelah melengkapkan proses penswastaan.
Sementara itu, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dilaporkan akan menggunapakai nama Sri Pahang FC untuk saingan Liga Malaysia musim depan.
Tidak cukup dengan dua makluman tersebut, Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) pada hari ini, mengejutkan peminat dan penyokongnya menukar nama kepada Bos Gaurus FC.
Kesemuanya mendapat kritikan dan kecaman oleh majoriti penyokong pasukan masing-masing di media sosial kerana tidak menitikberatkan nama tradisi yang digunapakai sejak sekian lama.
“Peminat tahu membantah sahaja, mereka tak tahu apa rasionalnya. Kadang-kadang apa yang dibuat oleh pengurusan bersebab, bukan suka-suka.
“Nama tak penting, macam Pahang nak letak Tok Gajah FC ke apa, tak penting kerana apa yang penting sekali adalah pengurusan yang profesional,” tambah Datuk Jamal lagi.
Featured Image: FA Kedah