Artikel

Fasa 2 Penswastaan: Wajib Hantar ‘CV’ Setiap Individu & Carta Organisasi

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meminta setiap pasukan yang telah melengkap fasa pertama penswastaan kelab untuk menghantar curriculum vitae (CV) setiap individu dan carta organisasi bagi kedua-dua entiti Football Association (FA) dan Football Club (FC).

Kedua-dua perkara tersebut mestilah dihantar sebagai sebahagian daripada fasa seterusnya iaitu fasa kedua penswastaan kelab selewat-lewatnya pada hujung bulan hadapan – 30 november 2020.

Mohd Firdaus Mohamed – Foto: FAM

Ini bagi memastikan pemisahan pengurusan dapat dilaksanakan sepenuhnya yang mana barisan pengurusan setiap FA dan FC tidak diisi oleh individu yang sama.

Sebagai contoh, presiden bagi Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBNST) tidak boleh memegang mana-mana jawatan dalam Terengganu Football Club Sdn. Bhd. pada waktu yang sama. Hal ini termasuk juga jawatan-jawatan lain dalam FA seperti timbalan presiden, naib presiden, setiausaha dan juga ahli jawatankuasa (AJK).

“Perjalanan penswastaan FC ini masih panjang sebenarnya dengan banyak lagi langkah-langkah atau proses yang perlu dijalani oleh setiap pasukan ini bagi memastikan industri bola sepak negara diswastakan sepenuhnya.

“Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM ini akan mengambil peranan baharu pula selepas ini untuk memantau prestasi dan seterusnya dalam pemerkasaan semua FC ini.” kata Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM, Mohd Firdaus Mohamed.

Dalam satu siaran media semalam, FAM mengumumkan 21 pasukan berjaya melengkapkan proses penswastaan kelab fasa pertama dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Antara proses penswastaan yang perlu dibuat oleh setiap pasukan pada fasa pertama adalah prakelulusan (surat tiada bantahan dan sokongan) daripada FA, pendaftaran syarikat di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Selain itu, mereka perlu membuat pendaftaran nama dan logo dengan MyIPO, menandatangani kontrak tugasan di antara FA dan FC, mendapatkan pengesahan bertulis daripada FA dan mendapatkan kelulusan daripada FAM serta AFC.

Sementara itu, bagi memperkasakan lagi penswastaan setiap pasukan yang telah dijenamakan kepada FC, pihak sekretariat FAM telah menyediakan perancangan bagi mengadakan beberapa program yang akan bermula pada awal 2021 nanti.

Antaranya ialah Bengkel Ketua Pegawai Eksekutif, Bengkel Operasi Kelab, Sidang Kemuncak Pengarah Teknikal, Bengkel Perundangan, Bengkel Pemasaran Kelab, Bengkel Keselamatan serta Bengkel Infrastruktur & Stadium.

Featured Image: FAM

komen