Pasukan Manakah Yang Akan Buru Khidmat Danial Amier?
October 6, 2020 Hafizuddin Omar

Pasukan manakah yang akan mendapatkan khidmat pemain tengah berbakat, Danial Amier Norhisham setelah Felda United tidak beraksi dalam saingan Liga Malaysia, musim hadapan?

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang merupakan pemilik kepada Felda United FC mengumumkan pasukan tersebut tidak akan terlibat dalam saingan bola sepak Malaysia untuk tahun 2021.

Ini bermakna pemain-pemain skuad The Fighters terpaksa mencari hala tuju baharu untuk meneruskan karier bola sepak mereka terutamanya kalangan pemain muda tempatan.

Danial yang merupakan pemain tengah berusia 23 tahun sudah lama mencuri tumpuan peminat-peminat bola sepak tempatan menerusi bakat dan kemampuannya di atas padang.

Ditambah pula dengan namanya yang tidak asing dengan panggilan ke skuad kebangsaan pelbagai peringkat umur, Danial pastinya bakal menjadi sasaran utama buat beberapa kelab besar dalam saingan Liga Super.

Ketika ini belum kedengaran lagi mana-mana pasukan yang membuat sebarang langkah untuk mendapatkan khidmat Danial.

Namun pada musim sebelum ini, juara Liga Super sebanyak tujuh kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) antara yang cuba mendapatkan khidmatnya.

Dan difahamkan pada ketika itu, Felda United FC meminta wang berjumlah RM1 juta sebagai nilai tebus kontrak terhadap Danial yang mempunyai baki kontrak sehingga hujung musim ini.

Featured Image: FAM

Komen